KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tidak menghantar pasukan negara mengambil bahagian di Sukan Asia Hangzhou perlu dihormati.
Hal itu diakui Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang percaya FAM mempunyai perancangan lain untuk tidak menyertai temasya yang akan berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober depan.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, tambahan pula masih ada masa yang panjang untuk membuat perancangan ke Sukan Asia.

MOM hormati keputusan FAM. -Tan Sri Mohd Norza Zakaria.
“Pertama, setiap persatuan itu ada perancangan mereka yang tersendiri, untuk jangka masa pertengahan dan jangka masa panjang atau pasukan mana yang mereka mahu hantar. Jadi, kami hormati keputusan persatuan.
“Keduanya, masih ada masa lagi untuk perancangan Sukan Asia. Kita masih belum buat proses pemilihan dan belum berbincang lagi dengan persatuan,” kata Norza, selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.
Menurut beliau, MOM sudah berjumpa dengan 29 persatuan baru-baru ini dan masing-masing menyuarakan hasrat mahu dan tidak mahu menghantar atlet kerana berdepan masalah tertentu.

FAM tidak akan menghantar pasukan ke Sukan Asia, Hangzhou, China.
“Dari situ nanti, kita akan perjelaskan dan akan buat keputusan bersama. Buat masa ini masih lagi keputusan di peringkat persatuan dan kita hormat keputusan berkenaan.”
Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan badan induk itu tidak akan menghantar pasukan bola sepak bawah 23 tahun (B-23) negara ke Sukan Asia kerana perlu fokus kepada kejohanan lebih penting yang berlangsung hampir dengan temasya itu.
Kejohanan yang paling dekat dengan Sukan Asia adalah kelayakan Piala Asia B-23 yang mana ia dijadual berlangsung pada awal September.