MESKIPUN meraih kemenangan dalam aksi separuh akhir pertama Liga Premier Futsal Malaysia 2023 (MPFL), pemain tonggak Pahang Rangers FC, Ridzwan Bakri menekankan pasukannya tidak boleh merasa terlalu selesa.
Jelasnya, pasukan Selangor MAC juga mempunyai peluang yang besar untuk mendapatkan kemenangan dalam perlawanan separuh akhir kedua yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam pada Sabtu.

Ridzwan dalam sesi latihan akhir di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam pada Jumaat.
“Hasil kemenangan yang lalu, kami tidak boleh ‘over confident‘ kerana mereka (Selangor MAC) juga mempunyai peluang untuk menang.
“Walaubagaimanapun, kami mesti memperkuatkan lagi bahagian pertahanan kami,” katanya kepada Flash Sukan ketika ditemui dalam sesi latihan akhir.

Rizwan Bakri dan Amin Nasrollah fokus menjalani latihan akhir.
Menjawab pertanyaan ketiadaan tonggak utama Selangor MAC, Ali Ebrahimi, Ridzwan mengakui ianya bukanlah satu kelegaan berikutan terdapat lebih ramai pemain yang lebih berpengalaman dalam pasukan itu.
Pahang Rangers juga mesti memberikan sepenuh fokus kepada permainan dan perlu sentiasa mengekalkan prestasi samada Ali bermain atau tidak.
Dalam masa yang sama, Ridzwan menyatakan jurulatihnya, Gerard Casas telah menyediakan taktikal yang baharu sebagai persediaan namun memilih untuk tidak berkongsi dengan lebih lanjut mengenai taktikal tersebut.

Jurulatih Pahang Rangers FC, Gerard Casas memantau sesi latihan akhir pasukannya.
“Dari dulu saya main, saya selalu cakap tak pernah juara. Namun pada tahun ini, berkat usaha satu pasukan, semoga Pahang Rangers menjadi juara,” tambahnya lagi.
Dalam aksi separuh akhir pertama, Pahang Rangers berjaya menewaskan Selangor MAC 4-3 sekali gus membawa kelebihan bekalan satu gol dalam pusingan kedua.

Ali Ebrahimi dilayangkan kad merah dalam aksi separuh akhir pertama MPFL2023.
Selangor MAC pula mempunyai peluang untuk menebus kekecewaan yang lalu apabila bermain di tempat sendiri walaupun Ali Ebrahimi tidak dapat turun beraksi kerana dilayangkan kad merah sebelum ini.
Aksi pada kali ini dijangka lebih sengit memandangkan ianya menjadi malam penentu kedua-dua pasukan melangkah ke final MPFL 2023.