SKUAD futsal negara tidak datang ke Piala Asia Futsal 2026 sekadar melengkapkan jadual, sebaliknya bersedia memberi cabaran sengit kepada semua lawan walaupun berdepan jurang ranking yang besar di peringkat dunia.

Ketua jurulatih negara, Addie Azwan Zainal menegaskan Malaysia hadir dengan mentaliti berani apabila dijadual membuka kempen Kumpulan D menentang juara bertahan Iran, pasukan ranking kelima dunia di Jakarta International Velodrome, petang esok.

“Kami sedar ranking Malaysia tidak begitu baik berbanding pasukan-pasukan lain di pusingan akhir ini. Tapi kami datang bukan semata-mata untuk sekadar turun bermain, kami ke sini untuk memberikan cabaran dan saingan hebat kepada semua pasukan,” katanya pada sidang media pra-perlawanan.

Malaysia yang kini berada di ranking ke-70 dunia berdepan laluan sukar dalam kumpulan yang turut dibarisi Afghanistan selaku pasukan ke-28 dunia dan Arab Saudi yang menghuni ranking ke-45 dunia, namun Addie percaya semangat juang tinggi mampu mengimbangi perbezaan tersebut.

Selepas pertembungan menentang Iran, Harimau Malaya akan berdepan Afghanistan pada Jumaat sebelum menutup aksi kumpulan menentang Arab Saudi pada Ahad, dengan sasaran jelas memburu dua kedudukan teratas kumpulan bagi melayakkan diri ke suku akhir.

Dengan persiapan rapi dan keyakinan yang semakin meningkat, skuad negara berharap dapat mencipta kejutan di pentas Asia sekali gus membuktikan Malaysia bukan lagi sekadar pelengkap saingan, tetapi pasukan yang wajar dihormati.