KEKOSONGAN posisi ketua jurulatih pasukan Bawah 23 Tahun Negara yang ditinggalkan Brad Maloney bakal diisi hujung bulan ini.
Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin terdapat beberapa ciri dan elemen penting yang ditekankan untuk memilih jurulatih baharu skuad bawah 23 kebangsaan bagi menggantikan tempat Maloney sebelum ini.
“Ada beberapa elemen yang kita bawa, untuk bola sepak, untuk pasukan. Anda suka atau tak suka. Bola sepak ini, kita mahukan pasukan kebangsaan semua peringkat. Kita nak jurulatih yang kita ambil berpengetahuan.
“Ada tahap tertentu, 500 peratus komitmen. Makna dia tak boleh kira masa 9 pagi ke 7 petang,” katanya pada sidang media selepas Kongres Tahunan FAM Ke- 58.

Sementara itu, Hamidin mengakui turut berbincang dengan jurulatih senior kebangsaan, Kim Pan-gon tentang calon terbaik bagi mengembalikan maruah bola sepak Bawah 23 kebangsaan di peringkat antarabangsa.
“Kim Pan-Gon dah bersiap. Sebelum itu kita dah bersetuju untuk bermain dengan Hong Kong dan Chinese Taipei.
“Saya juga dah berbincang dengan pengarah teknikal, kita dapat jemputan tapi kita tunggulah nanti kita akan umumkan mungkin dalam hujung minggu ini,” ujarnya lagi.
Menjelang tahun 2023 hingga 2026, FAM lebih memikirkan tentang pembangunan secara menyeluruh bagi pasukan senior dan belia kebangsaan.
Fokusnya akan terarah pada peringkat Asia dalam tempoh empat tahun bermula 2023-2026. Manakala, bagi tempoh empat tahun selepas itu pula, tumpuan akan ditujukan pada peringkat dunia.