NEGERI Sembilan FC (NSFC) gagal meneruskan momentum kemenangan di laman sendiri apabila tewas kepada Sabah FC 1-2 pada aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu malam.

Kekalahan ini menjadi tamparan buat skuad kendalian K. Nanthakumar, yang sebelum ini mencatat kemenangan membanggakan menentang Sri Pahang FC.

Walaupun menguasai beberapa detik penting dalam perlawanan, gol-gol awal Sabah FC ternyata cukup untuk mematahkan semangat NSFC.

Ketua Jurulatih NSFC, K. Nanthakumar, meluahkan rasa kecewa dengan keputusan tersebut, tetapi tetap memuji usaha keras pemainnya yang memberikan komitmen sepenuhnya di atas padang.

“Kami sudah bagi 100 peratus untuk perlawanan malam ini dengan Sabah, kita ada peluang untuk menambah gol, tetapi gagal menyempurnakannya dan jika kita dapatkan gol itu mungkin ia akan mengubah permainan,” katanya selepas tamat perlawanan.

Selain itu, Nanthakumar turut menyentuh kelebihan Sabah FC yang memiliki pemain import berkualiti dan pertahanan kukuh, yang menjadi cabaran besar buat NSFC.

“Kalau kita lihat Sabah, mereka mempunyai pemain yang solid di semua posisi, kita tidak ada pemain seperti itu.

“Pemain tempatan kita mempunyai kelemahan dari segi ketinggian dan ini memberi kelebihan kepada Sabah.

“Tetapi kita tetap gunakan apa yang ada dan saya gembira apa yang pemain saya berikan untuk perlawanan hari ini, mereka telah bermain sehabis mungkin dan hanya keputusan tidak memihak kepada kami,” katanya lagi.

Walaupun kecewa dengan kekalahan ini, Nanthakumar optimis dengan perlawanan seterusnya dan mungkin akan mengekalkan barisan pemain yang menunjukkan prestasi baik pada separuh masa kedua.

“Saya mungkin akan menggunakan kesebelasan sama seperti separuh masa kedua hari ini apabila menentang Terengganu nanti,” tambahnya.

NSFC perlu segera bangkit untuk memastikan kekalahan ini tidak menjejaskan momentum pasukan dalam saingan Liga Super, dengan pertemuan seterusnya menanti pasukan Terengganu FC pada 9 Februari.