KAPTEN Penang FC, Rafael Vitor, menjadi wira apabila jaringan penalti dramatiknya pada masa kecederaan memastikan keputusan seri 1-1 menentang Selangor FC dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Sabtu malam.
Keputusan ini sekali gus menggagalkan hasrat Selangor FC untuk membawa pulang tiga mata penuh.
Pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail, meluahkan rasa syukur dengan semangat juang yang ditunjukkan pemain-pemainnya yang tidak pernah menyerah sehingga ke wisel penamat.
“Pertama sekali, saya sangat bersyukur atas satu mata yang penuh bermakna untuk pasukan Penang FC.
“Kami berjaya mencipta gol yang bermakna untuk Penang FC dan meraih keputusan daripada usaha keras para pemain dan itu adalah petanda baik sebenarnya,” kata Wan Rohaimi selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, Wan Rohaimi turut memuji perancangan pasukan yang mula menunjukkan hasil, walaupun menghadapi kesukaran di separuh masa kedua.
“Kalau kita lihat dari perlawanan separuh akhir sebelum ini, kita dapat melihat perancangan permainan kita dan perkara itu dapat diteruskan hari ini.
“Walaupun keadaan padang sedikit tidak stabil di separuh masa kedua, ia tidak mematahkan semangat pemain saya untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata dan Alhamdulillah, ia terhasil dan tahniah saya ucapkan kepada pemain-pemain saya,” katanya lagi.
Namun, Wan Rohaimi mengingatkan pemainnya agar tidak terlalu selesa dengan keputusan tersebut.
“Jangan terlalu selesa kerana kita masih ada banyak lagi perlawanan yang akan datang dan saya harap kita dapat meneruskan momentum ini sehingga akhir musim,” tambahnya.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 2 Februari ini dalam aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran dengan Selangor FC mempunyai kelebihan satu jaringan.