PELARI pecut wanita berpengalaman, Zaidatul Husniah Zulkifli terkejut namanya dipilih bagi mewakili negara dalam acara pecut di temasya Sukan Kemboja Mei ini.

Atlet berusia 29 tahun itu melahirkan rasa bersyukur dan bertekad memberikan aksi yang terbaik di temasya dwi tahunan itu bagi membalas kepercayaan yang diberikan kepada dirinya oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Malah Zaidatul Husniah atau lebih mesra dipanggil Adik, berharap mampu membantu atlet-atlet pecut wanita muda negara terutamanya yang melakukan penampilan pertama di temasya berkenaan.

“Bila tengok senarai nama yang dikeluarkan semalam, saya bersyukur kerana dipilih sekali lagi untuk mewakili negara di Sukan Sea. Sebenarnya saya tak sangka boleh terpilih kerana waktu pusingan kelayakan saya cuma berjaya melakukan 11.76 saat (s).

“Harapan saya untuk buat yang terbaik. Saya mahu balas semula kepercayaan yang mereka beri kepada saya untuk beraksi sekali lagi di Sukan Sea.

“Malah kalau kita lihat dalam senarai itu (atlet pecut wanita) rata-rata yang dipanggil itu adalah junior yang beraksi dalam kategori B dan ada diantara mereka baru kali pertama beraksi di Sukan Sea. Jadi saya mungkin boleh bantu mereka sikit seperti kurangkan tekanan ketika beraksi di temasya seperti ini,” katanya.

Atlet ATM Zaidatul Husniah Zulkifli disenaraikan dalam kategori A, ke Sukan Sea Kemboja. -Pix ihsan GLENN GUAN/The Star

Zaidatul Husniah adalah pemenang pingat perak temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Selain Zaidatul Husniah, pelari Sabah Nur Aishah Rofina Aling turut disenarai untuk mengambil bahagian dalam acara 100m wanita, selain kedua-duanya akan memperkuat kuartet 4x100m bersama olimpian negara, Azreen Nabila Alias, atlet lompat bergalah, Nor Sarah Adi dan pelari Selangor, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal.

Dalam pada itu, Zaidatul Husniah menyuarakan keyakinan kuartet 4x100m wanita negara mampu melakukan kejutan biarpun dibarisi majoriti atlet muda.

Jelasnya, ia berdasarkan catatan masa bawah 12 saat yang dilakar mereka dalam beberapa kejohananan yang terdahulu.