KETUA jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil berpuas hati dengan dengan keputusan yang dicapai oleh anak buahnya dalam aksi kedua Liga Juara-Juara AFC 2 2024-25 menentang Cebu FC semalam.

Menurut beliau, tiga mata yang diraih oleh Gergasi Merah sangat penting buat pasukan itu bergerak ke hadapan.

“Kami gembira dengan kemenangan malam ini (semalam), dan sekarang kita sudah mengumpul empat mata dari dua perlawanan. Saya rasa ini adalah satu permulaan yang baik buat Selangor,” katanya selepas perlawanan.

Pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil

Nidzam mengakui dia berasa gembira dan lega kerana pasukannya mencipta banyak peluang sepanjang perlawanan semalam.

“Saya lebih takut kalau kita tak mencipta peluang. Kalau kita terus mencipta peluang seperti ini, saya rasa kita masih ada harapan untuk menang.

“Kalau kita tak mencipta langsung peluang dalam bola sepak, saya rasa kita perlu lihat semula, apa yang saya nak sampaikan di sini adalah kita tidak dibolosi dan kita menjaringkan gol.

“Saya akui kita memang ada banyak peluang tapi keputusan 1-0 malam ini saya rasa adalah keputusan yang adil untuk semua. Bukan mudah untuk bertemu lawan yang begitu berdisiplin,” tambahnya.

Selangor FC berjaya mendapatkan kemenangan pertama di pentas Liga Juara-Juara AFC 2 selepas tewaskan Cebu FC 1-0 hasil jaringan Yohandry Orozco.