SATU insiden luar jangka mencuri perhatian dalam aksi panas antara Corinthians dan Palmeiras apabila seorang pemain Corinthians, André Luiz Santos Dias, dilihat melakukan aksi kurang sopan di atas padang ketika perlawanan sedang berlangsung, dan tanpa disedari kamera siaran turut merakam detik tersebut.

Apa yang lebih mencetuskan perhatian ialah tindakan seorang pemain Palmeiras yang menyedari situasi tersebut lalu meminta pengadil untuk menyemak melalui Video Bantuan Pengadil (VAR).

Permintaan itu pada awalnya dilihat pelik, namun ia akhirnya membawa kepada satu keputusan yang jarang berlaku dalam bola sepak profesional.

Selepas semakan dilakukan, rakaman VAR dengan jelas menunjukkan pemain Corinthians itu memang melakukan perbuatan tersebut,walaupun ia bukan kesalahan teknikal seperti kekasaran atau handball, pengadil menilai ia sebagai tindakan tidak berdisiplin dan tidak menghormati etika permainan.

Keputusan tegas diambil apabila pemain tersebut, yang dikenali sebagai André, dilayangkan kad merah dan diarah keluar padang.

Situasi ini mengejutkan ramai pihak termasuk penyokong, pemain, serta pengulas yang tidak menjangkakan keputusan sebegitu.

Insiden ini pantas tular di media sosial dengan pelbagai reaksi daripada peminat bola sepak seluruh dunia serta ada yang menganggapnya sebagai kelakar, namun  ada yang melihatnya sebagai satu peringatan bahawa profesionalisme perlu dijaga dalam apa jua keadaan di atas padang.

Kes ini secara tidak langsung menunjukkan bagaimana teknologi VAR kini bukan sahaja digunakan untuk keputusan besar dalam permainan, tetapi juga mampu menangani perkara-perkara luar jangka.