PELUMBA berbasikal para negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin menamatkan saingan acara 3,000 meter Lelaki Individu Persuit di tempat kelima pada saingan di Velodrom Saint-Quentin-En-Yvelines.
Yusof,26, yang beraksi dalam kategori C1 (Kecacatan Fizikal) terpaksa akur dengan tewas tipis untuk ke final kepada pelumba dari Jerman Pierre Senska dengan catatan masa 3 minit 55.354.
Biarpun gagal ke final, Yusof tetap berpuas hati dengan pencapaiannya itu selepas merekodkan masa peribadi (PB) terbaik 3:55.
“Saya dan jurulatih meletak sasaran untuk catat masa 3:53 tetapi saya PB dengan 3:55 dan lebih baik ketika rekod 4:01 di Tokyo (Sukan Paralimpik 2020).
“Saya masih ada lagi tiga acara selepas ini, dan akan cuba melakukan yang terbaik dan tidak akan mengalah,” jelasnya kepada media selepas perlumbaan.
Yusof akan meneruskan perjuangan dalam tiga acara lain di sini iaitu 1,000m ujian masa serta dua acara lebuh raya – ujian masa individu dan perlumbaan lebuh raya.
Sementara itu, jurulatih Johari Mohd Nayan mengakui acara ini adalah ‘favourite’ untuk melihat anak buahnya ke final.
“Dalam tempoh dua bulan sebelum ini saya terpaksa rombak latihan untuk acara individu ini.
“Sebelum ini di Tokyo kami dalam acara berpasukan. Bagaimana pun saya memang berpuas hati dengan persembahan Yusof berada dalam kelompok kelima terbaik dunia.
“Dia masih muda dan saya percaya di LA2028, Yusof akan masuk final. Selepas ini kita akan fokuskan untuk kekuatan dan kelajuan.
“Sebenarnya susah untuk jumpa individu persuit ini, dan apabila dapat dia saya memang gembira,” jelasnya.
Seramai tujuh pelumba yang bertanding dalam acara ini, dan hanya empat terbaik akan ke final.