JOHOR Jewels berjaya mengekalkan kedudukan di tangga teratas Netball Super League (NSL) 2022 selepas menewaskan juara bertahan, KL Wildcats 56-50 dalam aksi yang cukup bertenaga di Stadium Juara Bukit Kiara.
Kemenangan ini menyaksikan Johor Jewels semakin hampir untuk mendapat tempat pertama dan akan beraksi dalam peringkat separuh akhir yang dijadualkan pada minggu hadapan.
KL Wildcats dilihat tertekan dan tidak dapat mempamerkan aksi seperti biasa meskipun cuba bangkit di suku keempat namun terpaksa menerima kekalahan ini dengan An Najwa Azizan mengganas di serangan Johor Jewels.
Sementara itu, Kedah Sunshine dan Melaka Mystic tersingkir dari NSL musim hadapan selepas menjadi dua pasukan terbawah liga selepas Sunshine tewas kepada Perak Phoenix 66-49 dengan Khairunnisa Nazri sekali lagi menjadi wira buat Phoenix apabila berjaya menjaringkan 55 mata.
Dalam satu lagi perlawanan, Selangor Angels semakin garang selepas membenam cabaran Pahang Tulips 59-50 dalam aksi yang cukup menarik ditampilkan oleh kedua-dua pasukan.
Aminah Ahmad dan L.Karisma berjaya menyumbang 58 mata untuk Angles manakala Maisarah Affandi pula cemerlang menjaringkan 36 mata buat Tulips namun gagal untuk menyekat kemenangan Angels.
Tiga perlawanan akan berlangsung esok (Ahad) untuk melengkapkan aksi peringkat kumpulan dengan Melaka Mystic bertemu Negeri Sembilan Venom sebelum KL Wildcats berhadapan Pahang Tulips dan Johor Jewels berentap dengan Selangor Angels.