PASUKAN Terengganu Marvels melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Netball Super League 2026 selepas menewaskan Johor Jewels 70-63 pada aksi final di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan Terengganu Marvels menamatkan musim dengan rekod kemenangan sempurna selain menghadiahkan gelaran NSL pertama buat pasukan itu.

Perlawanan akhir berlangsung cukup sengit sejak awal apabila kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan pada suku pertama.

Johor Jewels yang dibarisi pemain berpengalaman cuba mengawal rentak permainan, namun Terengganu Marvels berjaya memberi saingan hebat sehingga kedudukan terikat 17-17 pada penghujung suku pertama.

Memasuki suku kedua, Terengganu Marvels mula memperkemaskan aksi terutama di bahagian pertahanan menerusi gandingan Cornelia Tjatjiua, Adalia Jasmine dan Najiha Iman yang berjaya mengekang serangan lawan.

Pada masa sama, ketajaman Tendai Masamba dan Siti Maisarah Affandi di bahagian serangan membantu pasukan dari Pantai Timur itu mengumpul mata penting untuk mendahului 36-32.

Momentum positif itu diteruskan pada suku ketiga apabila Terengganu Marvels semakin selesa mengawal permainan sambil memanfaatkan beberapa kesilapan mudah dilakukan Johor Jewels.

Aksi disiplin dan komunikasi baik antara pemain menjadi faktor utama pasukan tersebut berjaya menjarakkan kedudukan kepada 53-42.

Johor Jewels cuba bangkit pada suku terakhir menerusi beberapa gerakan pantas, namun Terengganu Marvels kekal tenang untuk mempertahankan kelebihan sehingga tamat permainan.

Adalia Jasmine turut mencuri perhatian menerusi aksi cemerlang di benteng pertahanan apabila merekodkan lima intercept sepanjang perlawanan.

Kemenangan itu melengkapkan musim luar biasa buat Terengganu Marvels yang menutup kempen NSL 2026 dengan status juara tanpa kalah.

Sementara itu, KL Wildcats meraih tempat ketiga selepas menewaskan Kedah Sunshine 60-39 dalam aksi penentuan tempat ketiga.