PERTEMBUNGAN sengit antara Putrajaya Dynamites dan KL Wildcats dalam aksi separuh akhir Liga Super Bola Jaring (NSL) 2023 telah memihak buat pasukan Wildcats dengan keputusan 51-50.
Walaupun aksi berbalas serangan yang dihidangkan kepada penonton yang hadir ke Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini sangat mendebarkan, namun juara NSL edisi pertama itu berjaya mematahkan impian pasukan Dynamites untuk memasuki final buat kali pertamanya.
Menurut pengendali KL Wildcats, Norizan Rajab menganggap percaturan yang telah dibuat untuk aksi separuh akhir itu berjalan dengan sempurna dan bakal diguna pakai lagi dalam perlawanan-perlawanan akan datang.
Selain itu, faktor pengambilan dua pemain import baharu dari Uganda juga telah menyumbang kepada kemenangan sejurus mengekalkan prestasi cemerlang pasukan Wildcats itu.
“Bagaimanapun, saya yakin dapat memberi saingan terbaik kepada lawan kita dalam perlawanan akhir esok iaitu Johor Jewels selaku juara edisi lalu.
“Saya tahu aksi final ini merupakan satu permainan yang berbeza kerana masing-masing dahagakan kemenangan tetapi saya tetap bertekad untuk menumpaskan pasukan Jewels pada hari esok.
“Paling penting sekali adalah untuk merebut semula trofi kejuaraan NSL yang pernah KL Wildcats rangkul pada edisi pertama tahun 2021 dahulu,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Jelas bahawa anak didik Norizan bakal mempamerkan aksi yang membahayakan untuk pasukan Jewels sekali gus membuktikan kekuatan pasukannya dengan menjadi juara NSL 2023.
Pentas akhir antara KL Wildcats dan Johor Jewels bakal berlangsung pada 5 November (esok) tepat jam 4 petang di Stadium Juara, Bukit Kiara.