SKUAD bola jaring Johor Jewels yang dilabel sebagai pasukan pilihan dalam Netball Super League (NSL) 2022 semakin bersedia dan bersemangat untuk perlawanan separuh akhir yang akan berlangsung pada Sabtu.

Jewels yang menduduki tangga teratas peringkat round robin dengan rekod tanpa kekalahan dalam kesemua tujuh perlawanan akan berhadapan pasukan di tangga keempat liga, Pahang Tulips sebagai satu lagi halangan sebelum ke final.

Ketua pasukan Jewels, Pow Mei Foong jelas gembira dengan kejayaan pasukannya layak ke separuh akhir kerana ianya menepati objektif pasukan iaitu untuk layak ke final dan muncul juara pertandingan NSL ini.

 

Mei Foong juga mahukan rakan sepasukannya mengurangkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan ketika menentang lawan yang sama ketika peringkat round robin dahulu.

“Kami sememangnya menyasarkan aksi final tetapi kami akan menggunakan pendekatan satu permainan dengan satu permainan agar para pemain lebih fokus dan dapat memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

“Kami sememangnya sudah bersedia untuk bersaing hingga ke final dan kami akan cuba untuk mengurangkan kesilapan yang telah kami lakukan ketika bertemu mereka pada perlawanan sebelum ini,” katanya ketika temubual eksklusif bersama FLASH SUKAN.

Pada peringkat round robin sebelum ini, Jewels berjaya menumpaskan skuad muda Pahang Tulips 76-34 dengan An Najwa Azizan dan pemain import dari Thailand Sirima Samnaree berjaya menjaringkan 61 mata.

Johor Jewels akan bertemu Pahang Tulips dalam separuh akhir pertama Sabtu ini manakala satu lagi perlawanan separuh akhir melibatkan KL Wildcats dan Selangor Angels yang akan berentap untuk merebut tiket ke final pada Ahad.