WAKIL tunggal negara Nur Aisyah Zubir dalam acara berbasikal lebuh raya wanita ke Sukan Olimpik Paris 2024, mendapat tonik berharga, apabila memperoleh basikal baharu untuk digunakan pada perlumbaan di temasya sukan terbesar dunia itu.
Pada Khamis, Aisyah menerima ‘jentera’ baharu sumbangan Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Cheah Ing Shern untuk meniup semangat pelumba negara itu di Paris nanti.
Aisyah yang melakar sejarah dalam sukan berbasikal lebuh raya wanita, menerima basikal baharu SL 8 Specialised, yang akan digunakan pada perlumbaan di Paris nanti.

SL 8 Specialised, basikal khas berprestasi bakal digunakan Nur Aisya Zubir di Olimpik Paris 2024.
Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh mengucapkan terima kasih kepada dua individu berkenaan kerana keprihatinan mereka dalam membantu memartabatkan sukan berbasikal negara di pentas dunia.
“Terima kasih kepada mereka yang sentiasa membantu Aisyah termasuk juga daripada MSN (Majlis Sukan Negara) sejak atlet itu berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik November tahun lalu.
“Saya harap ia akan menjadi pemangkin semangat untuk Aisyah terus berjaya menamatkan perlumbaan di Paris nanti,” katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh menunjukkan perancangan persiapan Nur Aisya Zubir kepada Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Mengulas mengenai sasaran terhadap Aisyah, Amarjit berkata, biarpun tampak sukar berikutan laluan perlumbaan tampak berliku, beliau berharap Aisyah dapat memberi kayuhan terbaik dan menamatkan perlumbaan di Paris nanti.
Terdahulu Aisyah menjadi pelumba wanita pertama negara dan ketiga dalam sukan berbasikal lebuh raya yang layak ke Olimpik selepas Adiq Hussainie Othman dan Amir Mustafa Rusli pada edisi 2012 di London.
Perlumbaan lebuh raya wanita akan membabitkan laluan sejauh 158 kilometer (km) dengan pendakian setinggi 1,700 meter (m) dari aras laut.
Aisyah turut perlu melalui sembilan pendakian keseluruhan sebelum menamatkan perlumbaan.