JAGUH cilik pushbike, Maleeq Dragster melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai juara terbanyak kejohanan pushbike kanak-kanak di luar negara dalam tempoh setahun.
Maleeq atau Wan Ayden Maleeq Wan Muhd Muzri 5, mencatat rekod luar biasa dengan 14 kejuaraan, termasuk memenangi gelaran juara dunia kategori lima tahun di RCS Championship, Tokyo, Jepun.
Bapanya, Datuk Seri Wan Muhd Muzri berkata, kejayaan Maleeq menjadi bukti betapa sukan pushbike mampu membentuk generasi muda yang bersemangat juang dan berani.
“Sebagai ibu bapa, kami berbangga dengan Maleeq. Dia juga memberi inspirasi kepada adik-beradik serta rakan-rakan seperjuangan untuk lebih berdaya saing. Semoga ini menjadi pemangkin untuk melahirkan seorang ahli sukan negara yang berjaya pada masa hadapan.
“Maleeq bukan sahaja mencipta rekod baru untuk Malaysia, malah mengangkat martabat sukan pushbike tempatan ke peringkat lebih tinggi, setanding kanak-kanak lain di dunia. Semoga dia terus mengekalkan prestasi cemerlangnya dan menjaga nama baik Malaysia di persada antarabangsa,” katanya.
Selain mempertahankan kejuaraan dua tahun berturut-turut di Jepun, Maleeq turut mencatat kemenangan di beberapa negara termasuk Thailand, Indonesia, Filipina, Hong Kong, dan Singapura.
Pelumba muda itu juga merangkul pelbagai kejuaraan tempatan, antaranya M8 Malaysia International Pushbike GP Series 2 2024 Langkawi, M8 Malaysia International Pushbike GP Series 4 2024 Petronas, dan M8 Magnificent Race 2024.
Selain itu, Maleeq berjaya menewaskan pelumba-pelumba cilik antarabangsa dalam Rockfish Cup International Championship 2024 yang berlangsung baru-baru ini.
Wan Muzri, yang juga Presiden The M8 Cycling Club memberitahu, Maleeq akan terbang ke Jepun sekali lagi pada Januari ini, bagi menyertai Kejohanan Run Bike Series (RCS).
“Maleeq akan membawa nama negara bersama abang dan kakaknya, serta tujuh pelumba lain, Fayyadh, Raziq, Izz Fast, Amni, Rafif, Ilyas, dan Dayyan.
Saingan kali ini dijangka sengit, tetapi kami yakin dengan persiapan rapi, pelumba Malaysia mampu mencapai keputusan terbaik,” ujarnya.
Mengenai masa depan Maleeq selepas sukan pushbike, Wan Muzri berkata anaknya berhasrat meneruskan langkah sebagai pelumba sukan permotoran Mini GP, hasil kerjasama antara M8 Malaysia dan ZK Racing.
“Program ini memberi peluang kepada kanak-kanak berbakat untuk melangkah lebih jauh. Aktiviti sukan seperti ini bukan sahaja membina keyakinan diri tetapi juga membantu mereka bergaul dengan rakan sebaya,” tambahnya.