JIKA Karim Benzema tidak mengalami kecederaan, Olivier Giroud mungkin tidak berada dalam kesebelasan utama Perancis di Piala Dunia kali ini.
Mungkin ini rezeki Giroud dan dia memanfaatkan peluang itu dengan bergaya apabila menyamai rekod Thierry Henry sebagai penjaring terbanyak Perancis.
Pemain berusia 36 tahun itu meledak dua gol ketika Perancis melakar kemenangan 4-1 ke atas Australia, awal pagi tadi sekali gus menjadi pemain paling tua Les Bleus menjaringkan gol di Piala Dunia.
Dalam perlawanan itu, Perancis ketinggalan menerusi jaringan Craig Goodwin tetapi Giroud menyamakan kedudukan apabila menyudahkan hantaran Andrien Robiot di babak pertama perlawanan.

Olivier Giroud meraikan jaringannya yang kini menyamai pencapaian lagenda Thiery Henry, 51 gol buat skuad kebangsaan Perancis.
Kylian Mbappe yang diramal bakal menjadi penjaring terbanyak Perancis di masa depan, melakukan hantaran kepada Giroud yang menyudahkannya untuk menjadikan keputusan 4-1 sekali gus menyamai rekod Henry yang sebelum ini meledak 51 gol di pentas antarabangsa.
“Ia bukan sesuatu yang membebankan dirinya. Saya tidak pasti jika dia memburu rekod berkenaan tetapi apa yang lebih penting adalah apa yang dilakukannya di atas padang…dia aset yang penting untuk kami,” kata jurulatih Perancis Didier Deschamps.
“Dia sangat berguna dalam cara dia berhubung dengan semua pemain lain di bahagian serangan dan pasukan.”
Henry bermain 123 kali bersama Perancis manakala Giroud menyamai rekod gol bekas penyerang Arsenal itu pada penampilannya ke-115 buat juara dunia berkenaan.
Pada 2018 di Russia, Giroud gagal menjaringkan sebarang gol ketika pasukan itu berjaya menjulang trofi Piala Dunia. – AFP