SENSASI muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, atau lebih dikenali sebagai Jojo berkongsi persiapannya yang intensif menjelang pertarungan besar menentang Johan Estupinan pada 24 Januari tahun depan di acara ONE 170.
Jojo menyatakan persiapannya di Bangkok tiada halangan dan berada dalam fasa yang terbaik.
“Persiapan saya sangat baik, sudah hampir dua bulan berada di kem latihan di Thailand, sebuah kem latihan bertaraf dunia.
“Saya belajar banyak perkara, berada dalam keadaan cergas, kuat, tanpa kecederaan dan ia merupakan kem latihan terbaik saya setakat ini,” katanya ketika sidang media secara atas talian pada Khamis.
Jojo turut mengulas rekod lawannya, Johan Estupinan, yang tidak pernah tewas dalam empat perlawanan sebelum ini.
“Estupinan, dia memang menarik sebab dia tak pernah kalah, tapi dia belum pernah berlawan dengan lawan yang betul-betul kuat dan rekod tinggi dia tak bermakna sangat bagi saya.
“Dia bukan lawan yang mudah dan gaya dia berbeza daripada kebiasaan, tapi saya bersedia dan ini adalah cabaran yang saya jangkakan dalam ONE Championship,” katanya lagi
Selain itu, setiap atlet perlu ada rutin mereka tersendiri dan tidak asing bagi Jojo untuk melakukan rutinnya sebelum bertarung.
“Saya akan berdoa dan cuba untuk kosongkan fikiran saya sebanyak mungkin sebab sebelum pertarungan, ada begitu banyak tekanan yang saya rasakan.
“Saya rasa seperti seluruh negara sedang melihat dan mengharapkan saya menang. Jadi, ada banyak tekanan, dan saya cuba untuk kosongkan fikiran saya dan fokus pada pertarungan, itu sahaja,” ujarnya.
Apabila ditanya sama ada Estupinan mampu menahan kuasa pukulannya, Jojo yakin bahawa dia tidak akan mampu menahan pukulan yang akan dilepaskannya.
“Sejujurnya, tidak, saya rasa dia tidak boleh kerana dia sudah goyah dalam hampir setiap pertarungan sejak dia sertai ONE Championship.
“Bukan setiap pertarungan, tapi kebanyakannya. Jadi, saya rasa dia tak pernah berdepan dengan seseorang yang memiliki kekuatan seperti saya dan sebaik saja dia terkena pukulan saya, saya rasa dia akan tumbang,” tegas Jojo.
Sebagai tambahan, Jojo menyifatkan segala usaha kerasnya adalah untuk negara tercinta dan itu sudah cukup memberikan kepuasan pada dirinya.
“Sebab utama saya bekerja keras dan sanggup berkorban segalanya untuk negara kerana ia sangat-sangat bermakna apabila dapat mengibarkan bendera Malaysia bersama pejuang hebat lain,” tambahnya.
Pertarungan yang bakal berlangsung di Impact Arena, Bangkok, Thailand itu adalah penampilan yang kelapan buat Johan di kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan termasuk bonus prestasi bernilai ratusan ribu ringgit.