KAPTEN Palestin, Musab Battat percaya pasukannya bersedia untuk bersaing dengan Emiriah Arab Bersatu dalam apa yang disifatkannya sebagai pertembungan ‘mesti menang’ dalam Kumpulan C Piala Asia 2023 di Qatar.
Tambil aksi Piala Asia ketiga berturut-turut, Palestin tewas 4-1 di tangan Iran, tetapi Battat menegaskan cabaran di Stadium Al Janoub akan menjadi cabaran yang lebih realistik.
“Kami tidak takut dengan Iran. Ya, mereka adalah pasukan yang kuat dengan pemain yang berkualiti, tetapi kami juga pasukan yang bagus, dan kami tidak takut.
“Kami kini menumpukan sepenuhnya kepada UAE, yang juga merupakan pasukan yang kami hormati, tetapi dalam bola sepak, pasukan berada pada tahap yang berbeza dan itu adalah semula jadi, dan UAE hampir menyamai tahap kami berbanding Iran.
“Kami tidak mahu memandang ke belakang, kini kami fokus sepenuhnya pada perlawanan kedua menentang UAE yang sama pentingnya. Ia adalah perlawanan yang mesti dimenangi dan kami akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan kemenangan dan mara ke pusingan seterusnya.
“Pemain kami berpengalaman dan mempunyai mentaliti yang kuat, kita mempunyai ramai pemain yang bermain di luar negara.
“Kami tahu sukar menentang Iran, tetapi kami bersatu dan itu telah membantu kami untuk menerima keputusan dan meneruskan perjuangan. Kami semua mempunyai objektif yang sama dan kami fokus sehingga wisel penamat,” ujar Battat.
Bagi UAE, kemenangan 3-1 ke atas Hong Kong, China, menunjukkan permulaan positif kerana mereka berharap untuk mara ke separuh akhir buat kali ketiga berturut-turut, dan pemain tengah Ali Salmin mahu melakar tempat dalam pusingan seterusnya dengan kemenangan kedua.
“Kami memberi tumpuan sepenuhnya kepada permainan ini, cita-cita kami adalah untuk menang dan mendapat mata keenam yang akan melayakkan kami ke peringkat seterusnya,” kata Salmin.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan jurulatih atas segala bantuan mereka menyediakan kami untuk kejohanan ini, dan juga terima kasih kepada peminat yang menyokong kami di stadium dan di tanah air.
“Pemain semua bersatu dan ini sangat penting dalam kejohanan seperti ini, sama ada kami bermain atau berada di bangku simpanan, kami semua perlu bersama dan inilah yang boleh membawa kami ke hadapan dan membantu meraih kemenangan.
“Kami mahu fokus dan melaksanakan strategi untuk perlawanan kedua,” jelannya.