PRESIDEN Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kononnya beliau menjadi dalang di sebalik aduan Vietnam kepada FIFA sehingga mengheret tujuh pemain warisan Malaysia dikenakan penggantungan.
Erick yang juga Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas serta tidak memberi manfaat kepada pembangunan bola sepak serantau, apatah lagi ketika negara Asia Tenggara sedang berusaha meningkatkan mutu masing-masing.
“Saya rasa buat apa kita mencampuri kemajuan negara lain. Sedangkan kita saling memerlukan,” katanya seperti dilaporkan media tempatan Indonesia.
Menurut beliau, persaingan di rantau Asia Tenggara seharusnya menjadi platform untuk memperkukuh kekuatan bersama dan bukan mencetuskan polemik yang tidak berfaedah.
“Kita bersaing antara negara Asia Tenggara ataupun taraf kita ke negara-negara Asia. Jadi mohon maaf, saya kelasnya bukan di situ,” katanya lagi, menegaskan beliau tidak terbabit dalam sebarang usaha menjatuhkan negara jiran.
Erick turut menekankan bahawa tuduhan sedemikian hanya akan merencatkan usaha kolektif ASEAN dalam meningkatkan standard bola sepak bagi menyaingi kuasa besar dunia.
“Tidak benar pastinya tuduhan itu. Kita mahu persaingan terus meningkat di Asia Tenggara dan Asia. Kalau bola sepak kita tidak meningkat, tentu kita akan terus kalah kepada Eropah dan Amerika Latin,” ujarnya.
Sebelum ini, aduan yang dikemukakan kepada FIFA menyebabkan tujuh pemain warisan Malaysia dikenakan penggantungan selama 12 bulan, sekali gus mencetuskan polemik dalam kalangan penyokong tempatan.
Bagaimanapun, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) kemudian membenarkan kesemua pemain terbabit beraksi sementara menunggu keputusan rayuan penuh.
Keputusan rayuan yang difailkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersama tujuh pemain berkenaan dijangka diketahui penghujung Februari ini dan bakal menjadi penentu kepada status mereka menjelang kempen antarabangsa seterusnya.