PEMAIN tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Halim Saari mempamerkan semangat tinggi untuk kembali berjuang bersama pasukannya menjelang aksi perlawanan Liga Super seterusnya.
Perkara ini menjadi perhatian apabila satu hantaran Instagram telah dibuat oleh Kedah Darul Aman FC dan menyaksikan sosok tubuh pemain berusia 30 tahun ini kembali turun menjalani latihan, selepas terlibat dalam kecederaan sebelum ini.
“Kelibat Halim amat dirindui selepas ketiadaannya dalam beberapa perlawanan penting. Kini beliau dalam proses pemulihan melalui pemantauan rapi unit fisioterapi dan jurupulih pasukan Sang Kenari.
“Petang tadi (dua hari lalu), Halim lebih banyak melakukan larian dan latihan meningkatkan kekuatan fizikal dalam bersedia untuk menjalani latihan penuh bersama rakan sepasukan.

Halim Saari menjalani latihan ringan bersama pasukan.
“Khidmat Halim amat diperlukan, beliau antara pilihan kesebelasan utama dalam mengemudi kreativiti bahagian jentera tengah bergandingan dengan Habib Haroon,” menurut kapsyen KDA FC di laman Instagram.
Perjuangan Halim dalam membantu memperkuatkan pasukan untuk tiga perlawanan awal liga menentang PDRM FC, Selangor FC dan Perak FC bagaimanapun terhenti baru-baru ini akibat ditimpa kecederaan.
Kini dia kembali dengan sifat teruja untuk membantu rakan sepasukan dalam aksi seterusnya bertemu Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Darul Aman pada Jumaat ini.