BERAKHIR sudah cabaran pasukan badminton lelaki negara di Sukan Asia ke-19, selepas ditunjuk jalan keluar oleh Korea Selatan, selepas tewas 1-3.
Segala-galanya bagai tidak kena, bermula dengan kekalahan perseorangan pertama, Lee Zii Jia kepada Jeon Hyeokjin.
Pemain profesional negara itu tunduk 14-21, 21-14, 18-21 dalam pertarungan selama 68 minit.
“Saya yakin pemain beregu mampu uruskan situasi ini, bagi saya saya sudah lakukan yang terbaik dan menerima keputusan ini,” kata Zii Jia, selepas tewas.
Bagaimanapun, tindakannya meninggalkan sesi temu bual secara tiba-tiba, selepas sukarelawan memberitahu pengurusnya meminta temu bual dihentikan, menimbulkan tanda tanya, terutamanya soalan dari wartawan hanya berkisar mengenai perlawanan dan berkaitan Olimpik Paris.
Seperti diharapkan Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menyamakan kedudukan selepas mengatasi Seo Seungjae-Kang Minhyuk 2-0 menerusi keputusan 21-17, 21-9 dalam masa 48 minit.
Namun Ng Tze Yong dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang turun beraksi selepas itu, tidak mampu membendung semangat juang lawan mereka apabila masing-masing tewas 2-0.
Tze Yong tewas kepada Lee Yungyu 11-21, 16-21, manakala Yew Sin-Ee Yi tewas kepada Kim Wonho-Na Sungseun 16-21, 18-21.