Select Page

Pasukan basikal Terengganu TSG membara hadapi Jelajah Sharjah

Pasukan basikal Terengganu TSG membara hadapi Jelajah Sharjah

TERENGGANU Polygon Cycling Team (TSG) berazam mempertahankan gelaran pasukan terbaik yang dimenangi tahun lalu pada Jelajah Sharjah, bermula Jumaat ini.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus, berkata, pasukan nombor satu Asia itu turut meletakkan sasaran dua kedudukan podium pada siri kejohanan lima hari itu.

Menurut beliau, enam pelumba terbaik bakal membawa cabaran TSG termasuk muka baharu, Aiman Cahyadi serta pakar mendaki, Anatolli Budiak dan Metkel Eyob.

“Tiga pelumba import itu akan dibantu Wan Abdul Rahman Hamdan, Mohd Shahrul Mat Amin dan Irwandie Lakasek bagi memenuhi sasaran perlumbaan tahun ini.

“Tahun lalu, kami hanya meraih satu kedudukan podium melalui Anatolli Budiak yang menamatkan perlumbaan peringkat ketiga di tempat kedua.

“TSG perlu mengutip seberapa banyak mata yang boleh kerana misi 2023 adalah muncul pasukan benua terbaik dalam ranking dunia,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Jelajah Sharjah merupakan perlumbaan lima peringkat yang berstatus 2.2 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dengan jarak keseluruhan sejauh 440 kilometer.

Nasiruddin menjelaskan, Jelajah Sharjah bakal disertai 156 pelumba daripada 26 pasukan termasuk 10 skuad kebangsaan antaranya Arab Saudi, Oman dan tuan rumah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

“Selain Jelajah Sharjah, TSG juga menghantar satu lagi pasukan untuk berentap dalam Jelajah Saudi yang bertaraf 2.1 UCI bermula 30 Januari sehingga 3 Februari,” jelas beliau.

 

Video Terkini

Loading...