PDRM FC mengumumkan perubahan lokasi bagi perlawanan pertama suku akhir MFL Challenge Cup 2024 menentang Melaka FC, yang kini akan berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Perlawanan yang dijadualkan pada 10 Disember 2024 jam 9 malam itu terpaksa dipindahkan ekoran kerja-kerja pengubahsuaian kecil di Stadium MP Selayang, yang tidak dapat digunakan buat masa ini.

Dalam satu kenyataan rasmi, PDRM FC mengucapkan terima kasih kepada Melaka FC yang sudi menjadi tuan rumah untuk kedua-dua perlawanan suku akhir, sekaligus memastikan kelancaran jadual pertandingan.

Keputusan ini juga mendapat kerjasama baik daripada pihak-pihak terlibat, dengan PDRM FC menyatakan penghargaan atas sokongan dan penyelesaian segera yang diberikan.

Pasukan bimbingan P. Maniam itu turut menyeru penyokong setia mereka untuk hadir memenuhi Stadium Hang Jebat, memberikan sorakan padu dan motivasi tambahan kepada skuad Sang Saka Biru dalam usaha mereka meneruskan kempen MFL Challenge Cup.

Stadium Hang Jebat bakal menjadi lokasi bagi perlawanan pertama suku akhir MFL Challenge Cup 2024 membabitkan PDRM FC dan Melaka FC.

“Sokongan anda amat bermakna buat kami,” jelas kenyataan itu, memberi gambaran bahawa kehadiran peminat di Melaka mampu menjadi pemangkin semangat untuk PDRM FC tampil dengan persembahan terbaik.

Dengan perubahan lokasi ini, pertembungan antara PDRM FC dan Melaka FC dijangka berlangsung sengit, apabila kedua-dua pasukan berusaha mengukir langkah awal yang positif menuju ke separuh akhir.