KEPUTUSAN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memecahkan beberapa gandingan utama beregu lelaki negara bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya sebahagian daripada perancangan jangka panjang dalam usaha memburu kejayaan lebih besar menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama barisan jurulatih beregu lelaki yang diketuai Herry Iman Pierngadi serta legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei.

Menurutnya, langkah berkenaan bukan kerana gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik sudah tidak relevan, sebaliknya BAM mahu menilai potensi kombinasi baharu melibatkan pemain muda dan pemain berpengalaman.

“Kita melihat ke hadapan untuk Olimpik 2028. Bukan bermakna Aaron dan Wooi Yik tidak lagi mempunyai potensi, tetapi kita juga perlu melihat pemain muda yang ada dan mengapa tidak mencuba kombinasi baharu antara pemain muda dengan pemain yang lebih berpengalaman,” katanya.

Rexy menjelaskan beberapa gandingan sementara atau ‘scratch pair’ akan diuji dalam beberapa kejohanan antarabangsa bagi menilai keserasian dan potensi mereka untuk menjadi pasangan tetap pada masa hadapan.

Beliau turut menegaskan pemilihan gandingan baharu tidak dibuat berdasarkan kekuatan individu semata-mata, sebaliknya mengambil kira kesesuaian dan keperluan setiap pasangan di dalam gelanggang.

“Bagus dengan bagus belum tentu menjadi pasangan yang bagus. Apa yang penting adalah bagaimana mereka saling melengkapi dan memenuhi keperluan masing-masing ketika bermain,” jelasnya.

Tambah Rexy, BAM juga perlu berani membuat perubahan bagi memastikan skuad beregu lelaki negara terus berkembang dan tidak hanya bergantung kepada beberapa pasangan utama sahaja.

Beliau percaya rombakan itu mampu memberi pengalaman berharga kepada pemain muda untuk beraksi di pentas besar, sekali gus memperluaskan pilihan negara menjelang Olimpik 2028.

“Kita mahu melihat lebih ramai pemain mendapat pendedahan dalam kejohanan besar. Mereka perlu merasai sendiri bagaimana untuk bersaing dan menjadi juara. Ini adalah satu pembaharuan yang saya lihat sangat positif untuk masa depan badminton negara,” katanya.

Rexy berharap eksperimen yang dijalankan itu dapat membantu BAM mengenal pasti kombinasi terbaik yang bukan sahaja mampu bersaing di peringkat dunia, malah berpotensi merealisasikan impian negara meraih pingat emas Olimpik buat kali pertama.