PEMAIN beregu wanita negara, Go Pei Kee, mengesahkan tidak lagi akan meneruskan kerjayanya di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Pei Kee menerusi satu hantaran penuh emosi di akaun Instagram miliknya, yang memberi bayangan jelas mengenai keputusannya untuk melangkah keluar.

Dalam perkongsian tersebut, beliau meluahkan rasa bersyukur kepada individu yang banyak membantunya sepanjang perjalanan karier selain menghargai sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat.

Pada masa sama, pemain itu turut mengakui melalui tempoh sukar kebelakangan ini sehingga memberi kesan besar terhadap dirinya sebagai seorang atlet.

“Kepada peminat yang sentiasa menyokong saya, saya benar-benar rasa bersalah kerana tidak dapat lagi menunjukkan aksi saya di gelanggang, biarlah kenangan indah itu kekal pada saatnya,” coret Pei Kee dalam bahasa Mandarin.

Bagaimanapun, dia tetap positif apabila menegaskan akan menempuh masa depan secara berperingkat meskipun belum mempunyai gambaran jelas mengenai halatuju seterusnya.

Malah, Pei Kee menyifatkan pengalaman dilalui sejak berehat (berpisah dengan Teoh Mei Xing) sebagai satu proses “kelahiran semula” yang banyak mengajarnya tentang kehidupan dan kekuatan diri.

Pengundurannya dilihat satu kehilangan buat skuad negara, namun semangat juang dan penghargaan terhadap sokongan ramai membuktikan beliau masih menghargai dunia badminton yang pernah diwarnainya.