SKUAD berbasikal negara meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa pada hari pertama Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) Trek di Tagaytay, Filipina.

Pingat emas sensasi diraih menerusi acara pecut berpasukan campuran B selepas pelumba negara mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menewaskan Kazakhstan di pentas final.

Namun mencuri tumpuan apabila skuad wanita menunjukkan momentum cemerlang dalam acara pecut berpasukan elit apabila gandingan Izzah Izzati, Anis Amira dan Nur Alyssa menghadiahkan pingat perak.

Trio negara beraksi penuh agresif namun terpaksa akur dengan kepantasan China yang mempertahankan dominasi mereka untuk meraih emas.

Pecut berpasukan remaja wanita meraih gangsa di ACC Trek, Tagatay, Filipina. | FOTO FB Asia Cycling Confederations.

Tidak kurang hebat, skuad remaja wanita turut mencipta impak apabila membawa pulang pingat gangsa menerusi Davia Evriel Eriana, Nur Umairah Ohaisara dan Sawda Hasbullah.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia berdiri megah di podium di belakang Korea Selatan selaku juara dan India yang meraih perak.

Dalam perkembangan sama, skuad pecut berpasukan elit lelaki negara yang dibarisi Fadhil Zonis, Akmal Nazimi, Ridwan Sahrom sekadar menamatkan saingan di tempat keempat selepas ketinggalan di belakang China, Jepun dan Hong Kong.

Secara keseluruhan, aksi hari pertama jelas memperlihatkan kebangkitan kuasa baharu skuad wanita negara yang semakin garang mencabar dominasi Asia.