PENYOKONG-penyokong skuad bola sepak Argentina di Asia Tenggara kini berpeluang untuk menyaksikan juara Piala Dunia 2022 itu beraksi apabila bakal mengadakan perlawanan persahabatan menentang Indonesia di Indonesia ketika kalendar antarabangsa Fifa pada 19 Jun 2023.

Menurut laman sosial Twitter @AllAboutArgentina, jadual skuad kebangsaan Argentina untuk bulan Jun sudah disahkan dengan China dan Indonesia bakal menjadi destinasi Lionel Messi dan rakan-rakan sepasukannya.

Bagaimanapun, pengesahan rasmi mengenai perkara ini masih belum dikeluarkan oleh kedua-dua persatuan bola sepak namun desas-desus semakin bertiup kencang menjelang aksi persahabatan Jun ini.

 

Selain Indonesia, Argentina juga dikatakan bakal ke China untuk bertemu sama ada skuad kebangsaan China atau Australia pada 15 Jun sebelum ke Indonesia untuk perlawanan persahabatan kedua dengan venue perlawanan masih belum ditentukan.

Hubungan bola sepak antara Argentina dan Indonesia kini semakin rapat ekoran pembatalan hak Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia Fifa B20 dengan Argentina menjadi ganti kejohanan yang bakal berlangsung pada Mei.

Perkembangan ini pastinya menjadi satu berita baik buat peminat bola sepak di rantau ini dan ianya juga akan menjadi satu penghargaan buat bola sepak Asia Tenggara apabila terpilih untuk menjadi lawan kepada juara Piala Dunia Fifa.