JOHOR Darul Ta’zim (JDT) membuktikan penglibatan mereka dalam Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) bukanlah sekadar penumpang apabila dengan bergaya menempah tiket ke pusingan 16 terbaik selepas mengesahkan tempat sebagai lapan pasukan terbaik Asia Timur.
Harimau Selatan melengkapkan misi gemilang dalam penampilan pertama di ACLE selepas menewaskan satu lagi wakil Republik Korea, Pohang Steelers 5-2 sekaligus menduduki tangga keempat peringkat liga Zon Asia Timur.
Pengendali JDT, Hector Bidoglio menurunkan barisan terbaik dan anak-anak buahnya tidak mengecewakan 34,590 orang penyokong yang hadir dengan kemenangan hasil jaringan Oscar Arribas, Bergson da Silva dan Arif Aiman.

Oscar Arribas memulakan malam pesta JDT
Meskipun menguasai permainan, JDT tersentak pada minit ke-27 apabila Lee Ho Jae berjaya menjaringkan gol pendahuluan buat Pohang Steelers yang juga gol pertama yang membolosi gawang Andoni Zubiaurre di laman sendiri dalam kejohanan ACLE musim ini.
JDT tidak panik sebaliknya terus melancarkan serangan dan hanya memerlukan 10 minit sebelum menyamakan kedudukan menerusi Oscar Arribas yang menggamatkan suasana di stadium untuk keputusan terikat 1-1 bagi babak pertama.
JDT menggandakan asakan sejak dari awal babak kedua dan Bergson Da Silva membuktikan dia sememangnya perlu diberikan perhatian oleh pertahanan lawan dengan melorongkan bola untuk gol kedua JDT pada minit ke-52.

Bergson menambah derita Pohang dengan gol kedua
Berselang lima minit, penyokong JDT bagai dilanda histeria apabila Arif Aiman Hanapi mengambil kesilapan penjaga gol Pohang Steelers untuk menjaringkan gol ketiga sekaligus gol kelimanya dari lapan perlawanan di pertandingan ini.
Beberapa pertukaran dibuat Hector Bidoglio selepas itu dan ianya sedikit memperlahankan serangan JDT sehingga akhirnya dibolosi pada minit ke-80 untuk Pohang merapatkan kedudukan 3-2.
Tambahan masa 11 minit yang diberikan pengadil digunakan sebaik mungkin buat JDT dan Jese Rodriguez mengesahkan kemenangan JDT dengan gol keempat sebelum Jorge Obregon menyempurnakan penalti untuk kedudukan 5-2.

Arif Aiman dengan gol kelimanya dalam kejohanan ACL Elite
Kemenangan ini membuatkan JDT kini mampu berbangga bergelar sebagai 16 pasukan terbaik Asia dan akan bertemu satu lagi kelab Republik Korea, Gwangju FC secara timbal balik di peringkat 16 yang dijadualkan pada Mac.