KETUA jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon mengakui beberapa pemain baharu The Red Giants masih memerlukan masa untuk memahami serta menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkannya.

Pandangan itu hadir selepas Selangor memulakan kempen Liga Malaysia 2026/27 dengan langkah bergaya apabila menewaskan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) 4-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Dalam perlawanan berkenaan, beberapa muka baharu diberi kepercayaan mengisi kesebelasan utama termasuk Arbenit Xhemajli, Jefferson Tabinas, Peter Makrillos dan A. Selvan manakala Azam Azih, Kay Tejan serta Adib Raop pula memasuki padang sebagai pemain gantian.

Selangor bagaimanapun tidak berdepan masalah besar untuk membawa pulang tiga mata apabila kapten Faisal Halim dan penyerang Chrigor Moraes masing-masing meledak dua gol, manakala Philip Dandada Musa menghasilkan gol tunggal buat KRW FC.

Pan-gon mengakui kemenangan tersebut memberi permulaan positif kepada pasukannya, namun beliau mahu proses penyesuaian pemain baharu terus dipertingkatkan sepanjang musim.

“Saya fikir mereka masih beradaptasi. Mereka perlukan lebih banyak masa untuk sesuaikan diri,” kata Pan-gon selepas perlawanan.

Menurut pengendali kelahiran Korea Selatan itu, peningkatan kefahaman antara pemain baharu dengan rakan sepasukan akan membantu Selangor mendapatkan sumbangan lebih besar daripada setiap pemain.

“Jika mereka beradaptasi dengan baik, mereka boleh menyumbang kepada pasukan musim ini.”

Dalam masa sama, Pan-gon memuji komitmen anak buahnya yang berjaya memastikan Selangor memulakan saingan liga dengan kemenangan, terutama selepas melalui perlawanan pertama yang disifatkannya bukan mudah.

“Selalunya, perlawanan pertama (liga) bukan senang tetapi saya fikir mereka bekerja keras bagi mendapatkan tiga mata. Saya hargai usaha keras mereka,” katanya.

Selangor kini akan meneruskan cabaran di Pantai Timur apabila dijadualkan berdepan Terengganu FC pada 28 Ogos.

Terengganu turut membuka kempen 2026/27 dengan keputusan positif selepas menewaskan Melaka FC 3-0 dalam aksi sulung mereka.