BERITA baik yang ditunggu-tunggu untuk penyokong The Bos Gaurus sejak sekian lama hampir dinoktahkan apabila proses pengambilalihan Perak FC berjalan lancar.

Menerusi kenyataan terbaru Facebook Perak FC pada Khamis, rundingan dengan  JR Resources and Services Sdn Bhd (JR) berjalan lancar.

“Pihak pengurusan IMC telah bertemu dengan wakil daripada JR Resources semalam (Rabu) untuk meneruskan urusan penjualan Perak FC.

“Bagaimanapun, JR hanya diwakili oleh peguam dan pembantu mereka, tanpa kehadiran pengarah syarikat tersebut.

“Oleh itu, kedua-dua pihak telah bersepakat untuk bertemu pada minggu hadapan bagi melengkapkan proses menandatangani perjanjian pengambilalihan Perak FC,” kata kenyataan itu.

Pada pertemuan itu juga, resolusi daripada Impact Media & Communication (IMC) bagi penjualan Perak FC ditandatangani dan semua ahli lembaga pengarah Perak FC telah menandatangani dokumen perletakan jawatan masing-masing.

“Sementara menanti pertemuan tersebut, IMC sudahpun memohon untuk melanjutkan tempoh pembayaran tunggakan gaji daripada MFL.

“Keputusan permohonan tersebut akan dimaklumkan hari ini,” katanya lagi.