PEMAIN elit Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya akan dihantar menyertai kejohanan terpilih selepas ini dan bakal ditetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) tertentu.
Ketetapan ini bakal menyaksikan tiada lagi pemain yang akan ‘bermewah merantau’, menyertai banyak kejohanan tanpa ada pencapaian.
Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky berkata, setiap pemain bukan hanya akan menyertai kejohanan terpilih, malah ditetapkan untuk mencapai sasaran BAM seperti kejohanan Terbuka Malaysia, Masters Malaysia, Seluruh England, Piala Thomas, dan Sukan Asia yang melibatkan maruah sukan negara.
“Sudah tentu harus lebih memilih kejohanan selepas ini keraja kita perlu capai sasaran BAM.
“Hal ini bukan berkaitan pemain sahaja, jurulatih juga haris lebih fokus untuk mencapai KPI ini, jadi seharusnya lebih memilih kejohanan untuk menghantar pemain,” kata Rexy kepada Flash Sukan.
Tindakan itu tentunya bukan hanya bersandarkan kepada penjimatan kos dalam menghantar pemain ke luar negara, sebaliknya berkaitan prestasi pemain negara yang tidak konsisten.
Pada kejohanan Jelajah Dunia Akhir (WTF) yang berakhir pada Ahad, menyaksikan tiada seorang wakil negara melangkah ke final.
Paling malang, Malaysia diwakili dua beregu lelaki, Aaron Chia-SohWooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang diletakkan selaku pilihan kedua dan keempat kejohanan, gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.
Sementara beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula kandas di separuh akhir.
Terdahulu, di Sukan SEA Thailand, skuad badminton negara sekadar membawa pulang 1 emas menerusi Pearly-Thinaah, ketika Indonesia dan Thailand masing-masing meraih 3 pingat emas.