KUALITI kepimpinan dan kematangan sistem sukan negara menjadi sorotan apabila seorang warga Australia yang menetap hampir 25 tahun di Malaysia meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian luar biasa kontinjen negara di Sukan SEA Thailand, yang baru melabuh tirainya.

Mathew Barsing, pemerhati sukan antarabangsa dan penganalisis ekonomi, menyifatkan kejayaan meraih 231 pingat di bumi asing sebagai sejarah yang tidak boleh diperkecilkan.

Mathew Barsing berbangga melihat pencapaian kontinjen Sukan SEA negara mencatat rekod baharu. |FOTO/FB MATHEW BARSING

“Jika anda tidak berasa bangga dengan Malaysia ketika ini, saya benar-benar tidak tahu apa lagi yang boleh membuatkan anda bangga,” katanya sambil menegaskan pencapaian itu berlaku jauh dari laman sendiri, di Bangkok.

Menurut Barsing, kejayaan memecahkan rekod kutipan pingat terbanyak di luar negara bukan soal tuah, bukan juga hasil satu sukan atau seorang bintang semata-mata.

“Ini tentang ketelitian, disiplin dan keyakinan seluruh ekosistem sukan – atlet, jurulatih, pasukan sokongan, keluarga dan kerja bertahun-tahun yang jarang dilihat orang,” katanya menerusi akaun LinkedIn.

Beliau turut memuji kepimpinan bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang disifatkan berjaya membina asas sistematik dan berani untuk melahirkan prestasi konsisten di pentas antarabangsa.

Malaysia akan menjadi tuan rumah seterusnya Sukan SEA 2027.

“Sukan itu cerminan negara, dan bila sesebuah negara beraksi sebegini di luar, ia menceritakan sesuatu yang lebih mendalam tentang cara pemikiran, daya tahan dan keyakinan kolektif,” ujar Barsing lagi.

Juateru, Barsing menyatakan bahawa sebagai rakyat Australia yang menganggap Malaysia sebagai rumah keduanya, kejayaan kontinjen negara, benar-benar membuatkan beliau tersenyum dan berasa bangga bersama Team Malaysia.