KEBERANIAN memperkenalkan sasaran 200 pingat keseluruhan tanpa mengikut warna pingat oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, akhirnya menemukan justifikasi apabila pendekatan itu selari dengan saranan kepakaran Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) Jepun dan membuahkan hasil di Sukan SEA 2025.
Di Thailand, atlet bawah 21 tahun (B21) membuahkan impak jelas apabila 43 peratus daripada 412 atlet B21 berjaya menyumbang pingat, menafikan persepsi usia muda sebagai penghalang kejayaan.

Naratif keberanian itu turut diterjemahkan atlet kali pertama yang tampil tanpa gentar apabila 39 peratus daripada 646 atlet baharu berjaya menaiki podium, membuktikan sasaran tanpa warna pingat membuka ruang peluang lebih luas untuk atlet beraksi tanpa tekanan tinggi.
Secara keseluruhan, Malaysia menamatkan kempen dengan 231 pingat hasil 57 emas, 57 perak dan 117 gangsa, sekali gus mengisi sasaran yang dirangka berasaskan prestasi menyeluruh.

Kejayaan itu diperkukuh apabila emas berjaya diraih dalam 28 daripada 50 sukan dipertandingkan, petunjuk jelas kekuatan Malaysia kini lebih seimbang dan tidak lagi bergantung kepada acara tradisi semata-mata.
Tanpa diletakkan sasaran warna pingat, atlet wanita terus menjadi nadi senyap kontinjen apabila hampir separuh sumbangan pingat, iaitu 49 peratus.

Pendekatan sasaran tanpa warna pingat ini bukan bermula di Sukan SEA, sebaliknya telah diuji sejak Sukan Asia Hangzhou, sekali gus menjadi asas kepada perancangan jangka panjang prestasi negara.
Walaupun menamatkan kempen di tangga keempat di belakang Thailand, Indonesia dan Vietnam, jurang prestasi kian mengecil dan struktur kontinjen jelas semakin kukuh.
Lebih penting, Sukan SEA 2025 membuktikan bahawa pelaburan terhadap atlet muda, sokongan sains sukan dan sasaran berfokus prestasi bukan langkah berisiko, sebaliknya nadi masa depan sukan negara dan pendekatan sasaran ini wajar diteruskan untuk temasya akan datang.