HAJAT Imigresen FC untuk melakar kejutan dalam saingan Piala FA 2023 tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC di pusingan kedua pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Pengendalinya, Mat Zan Mat Aris berkata punca utama kekalahan kepada finalis Piala AFC 2022 itu adalah akibat kelekaan dan kesilapan individu para pemainnya yang dihukum barisan Bojan Hodak.

“Perlawanan ini sememangnya sukar dan ianya menepati jangkaan awal kami. Kami banyak bertahan pada separuh masa pertama dan lepaskan gol pada saat akhir babak pertama namun saya memuji disiplin pemain ketika bertahan.

“Kelekaan pemain sebabkan gol pertama dan kesilapan individu sebabkan gol kedua. Pemain sangat berdisiplin tetapi kelekaan pada saat akhir menyebabkan lawan mendapat gol,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan

Mat Zan juga menyatakan kekurangan perlawanan kompetitif ekoran Liga M3 yang berhenti rehat akibat bulan Ramadan tidak menggangu momentum pasukannya untuk menghadapi perlawanan ini.

“Rehat yang panjang tidak menggangu. Kami adakan latihan sebelah malam dan adakan perlawanan persahabatan jadi ianya tidak menggangu momentum,” tambahnya.

Kekalahan itu menyaksikan Imigresen FC tersingkir dari saingan Piala FA dan kini akan kembali menumpukan perhatian kepada saingan Liga M3 yang akan bersambung pada 6 Mei menentang Sains FC.