Oleh MOHD FARIQ
“SEKEPAL menjadi gunung, setitik menjadi laut,”
Mungkin tidak keterlaluan buat penulis untuk mengaitkan peribahasa Melayu itu sebagai mesej kepada sesetengah pihak yang cuba baru-baru berjinak di dalam industri bola sepak tempatan.
Sejak kebelakangan ini penulis sempat mengikuti perkembangan semasa bola sepak negara dan antaranya yang mencuri perhatian penulis adalah proses pembelian kelab di antara dua pihak khususnya daripada pihak pembeli.
Selepas membaca kenyataan daripada pihak terbabit, penulis sedikit tergamam dengan reaksi kedua-dua pihak ini ketika bernegosiasi.
Apakah mereka tahu lumrah bola sepak Malaysia? Bentak ini selalu bermain fikiran penulis.
Pertama penulis tidak menidakkan keupayaan atau pengalaman mana-mana pihak yang berminat untuk mengurus serta membeli mana-mana kelab di Liga Malaysia ini.
Malah penulis amat gembira jika ada lebih banyak kelab-kelab berjaya dibeli oleh syarikat-syarikat swasta sebagaimana persatuan negeri (FA) sebelum ini dilihat menjadi ‘pemilik’ sebelum Malaysian Football League (MFL) memperkenalkan pemisahan FA kepada kelab (FC) pada tahun 2020.
Dengan pendekatan yang dilakukan oleh MFL itu, sepatutnya ekonomi liga domestik akan bertambah lebih rancak dan platform komersial akan menjadi lebih meluas.
Pun begitu, penulis ingin tekankan bahawa perniagaan biasa tidak sama seperti perniagaan bola sepak yang jelas sangat menuntut komitmen tinggi.
Bukan apa, Liga Malaysia sebelum ini lebih ‘terkenal’ cerita di luar berbanding di atas padang.
Penulis berharap mana-mana pihak yang berhajat untuk membeli mana-mana kelab di Liga Malaysia bukan sahaja mampu memanifestasikan fikiran sebaliknya ia dapat meluaskan horizon pemikiran dan menggabungjalinkan elemen penting dalam bola sepak negara.
Jika mereka berfikiran hari ini melaburkan sebanyak RM1 juta dan bulan depan mereka akan meraih keuntungan sebanyak RM2 juta, mereka silap.
Ini kerana proses jual beli dalam industri bola sepak domestik tidak sama seperti perniagaan yang mereka hadapi sebelum ini.
Sebagai contoh, ada kelab Liga Malaysia yang telah mendapat sentuhan pemilik baharu pada awal tahun ini tetapi disebabkan kekurangan pengalaman dan pengetahuan, mereka telah gagal untuk mendapatkan projektori seperti yang diidamkan.
Kepada yang sudah berada dalam industri ini, mereka tahu setiap permasalahan itu tetapi penulis yakin setiap kekangan tersebut boleh diatasi dengan baik bergantung kepada pelan visi dan misi mereka.
Justeru, pembelian kelab ini bukan melibatkan keuntungan semata-mata sebaliknya ia juga bersentimenkan kecintaan terhadap sukan nombor satu negara ini di mana penulis percaya simbiosis di antara syarikat swasta dan industri telah menjadi satu anjakan paradigma baharu kepada bola sepak di Malaysia.
Hanya jauhari mengenal manikam dan penulis sangat berharap permulaan baharu kepada syarikat swasta yang telah berjaya membeli kelab Liga Malaysia ini bakal menjadi suntikan motivasi kepada semua pihak.
Buang rasa malu atau segan untuk belajar sesuatu dan lebih tepat, pergilah berguru dengan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang telah menjadi contoh terbaik dalam menguruskan perjalanan kelab yang cukup efektif tanpa bergantung harap kepada kekuatan kewangan semata-mata.
Akhir kata daripada penulis, kalau takut ombak jangan sesekali berumah di tepi pantai.