KEGAGALAN mendapatkan sasaran 40 pingat emas dianggap pencapaian terburuk Kontinjen Malaysia dalam sejarah Sukan SEA apabila sekadar menduduki tempat ketujuh dan pada edisi 2023 di Kemboja.

Semalam, semua acara pingat berakhir  dan pencapaian atlet negara pada edisi ke-32 lebih mengecewakan, malah lebih buruk ketika temasya sama di Hanoi, Vietnam, tahun lalu.

Selepas temasya sukan dwitahunan itu melabuhkan tirai, malam ini, kontinjen negara akan pulang dengan detik hitam di pentas Sukan SEA apabila hanya mengutip 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa untuk menghuni tangga ketujuh keseluruhan.

Malaysia mengakhiri cabaran pada kedudukan keenam keseluruhan dengan 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa di Hanoi, tahun lalu dan sebelum itu pada kedudukan sama pada edisi 1983 di Singapura.

Lebih mengecewakan apabila Malaysia dengan 676 atlet berada di bawah Singapura, Filipina dan Kemboja.

Nor Iman Hakim Rakib akhirnya meraih emas di Sukan Sea selepas bertukar angin dari Taekwondo ke Kick boxing.

Pada saingan terakhir Malaysia berjaya menambah empat pingat emas menerusi atlet sukan tari, Sam Jee Lek, pasukan hoki lelaki dan wanita serta atlet kick boxing Ahmad Nor Iman Hakim Rakib.

Selepas tamat saingan hari ke-11, Vietnam muncul juara keseluruhan apabila mengutip keseluruhan 136 emas, 105 perak dan 114 gangsa, diikuti Thailand 108-95-108 manakala Indonesia di tempat ketiga 85-81-109.

Tuan rumah Kemboja berada di kedudukan keempat dengan mengutip keseluruhan 81-74-126 manakala Filipina di tempat kelima 58-86-116 sementara Singapura di posisi keenam 51-42-64.

Sementara itu, segala analisis pencapaian kontinjen negara hanya akan dibuat selepas kesemua mereka kembali ke tanah air pada Jumaat.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dijangka mengadakan perjumpaan bersama Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Mohd Nasir Ali serta timbalannya, Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee bagi memperincikan prestasi atlet Malaysia di Kemboja.