KEJOHANAN Badminton Terbuka Malaysia yang diangkat ke Super 1,000 diharap mengubat kerinduan menonton aksi terakhir gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Peng Soon yang sebelum ini berkira-kira untuk membuat penampilan bersama Liu Ying di Terbuka Malaysia berkata, dia bersetuju dengan hasrat bekas gandingannya itu untuk beraksi pada perlawanan perpisahan.

Goh Liu Ying… antara permata badminton negara yang pasti akan dirindui selepas persaraannya.

“Pasti ramai nak lihat, nak tonton kami bermain bersama, lagipun ini kejohanan di tempat sendiri.

“Lagipun saya nak raikan perpisahan dengan Liu Ying akan akan bersara sepenuhnya selepas ini,” kata Peng Soon, ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Sukan Olimpik, Sukan Komanwel.. antara kenangan terbaik Goh Liu Ying sepanjang bergandingan Chan Peng Soon.

Gandingan Peng Soon-Liu Ying kini berada di ranking ke-49 dunia, selepas mereka berdua sudah lama tidak bergandingan.

Sepanjang mereka bergandingan, mereka muncul naib juara Terbuka Malaysia sebanyak dua kali iaitu pada 2013 dan 2016.

Malah kedua-duanya menyumbang pingat perak Sukan Olimpik Brazil 2016.

“Kami main di Terbuka Malaysia tanpa sasaran juara lagi, hanyalah ‘farewell’ buat Liu ying.

“Keutamaan kami adalah mahu peminat badminton terhibur kerana ramai yang suka melihat kami buat kali terakhir di atas gelanggang,” kata Peng Soon.

Walaupun sudah meninggalkan BAM, Chan Peng Soon mahu teruskan impian ke Olimpik Paris 2024 bersama Cheah Yee See.

Dalam pada itu, Peng Soon berkata, dia akan terus bergandingan dengan Cheah Yee See sebagai gandingan beregu campuran profesional.

“Kami masih menetapkan sasaran utama ke Olimpik Paris 2024, dan saya harap kami mampu melakukannya,” kata Peng Soon.