Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan empat pegawai perlawanan dari Qatar untuk mengendalikan aksi final Piala Malaysia 2025-2026 antara Johor Darul Ta’zim dan Kuching City FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Mei ini.

Barisan pegawai tersebut diketuai Mohammed Ahmed Al Shammari selaku pengadil utama bersama Yousuf Aref Al Shamari dan Khaled Aiad Khalaf sebagai penolong pengadil pertama dan kedua.

Sementara itu, tugas sebagai pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR) akan dikendalikan Meshari Ali Alshamari.

Kesemua pegawai berkenaan memiliki status Pengadil FIFA selain turut memegang pengiktirafan Pengadil Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

FAM dalam kenyataan memaklumkan keempat-empat pegawai itu mempunyai pengalaman luas mengendalikan perlawanan bertaraf antarabangsa termasuk FIFA U-17 World Cup serta final Qatar Emir Cup.

Pelantikan pengadil luar negara dibuat selepas FAM menerima permohonan rasmi daripada Malaysian Football League (MFL) yang mahu aksi final edisi ke-99 itu dikendalikan pegawai berprofil tinggi.

Langkah tersebut juga dilihat sebagai usaha memastikan mutu pengadilan berada pada tahap terbaik bagi perlawanan paling berprestij dalam kalendar bola sepak tempatan.

Sebelum ini, FAM pernah menggunakan khidmat pengadil luar negara pada final Piala FA 2019 antara Perak dan Kedah yang dikendalikan pegawai dari Jepun.

Final Piala Malaysia musim ini dijangka berlangsung sengit apabila JDT turun selaku juara bertahan manakala Kuching City memburu sejarah muncul juara buat kali pertama.