SKUAD kuadran negara muncul juara dunia selepas menewaskan India 2-0 pada final Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 2026 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Kuartet negara dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi mempamerkan aksi bertenaga untuk menghadiahkan kemenangan 17-15, 15-10.
Aksi final berlangsung sengit terutama pada set pertama apabila kedua-dua pasukan saling mengejar mata hingga terikat 14-14 sebelum Malaysia tampil lebih tenang menerusi beberapa hadangan kemas dan rejaman tepat.
Sorakan ribuan penyokong di Stadium Titiwangsa terus membakar semangat pemain negara untuk mengekalkan momentum pada set kedua apabila Malaysia selesa mendahului 10-7 hasil permainan agresif serta pertahanan lebih tersusun.
Afifuddin yang mengalami kesakitan tetap memperagakan semangat juang tinggi dan menyempurnakan beberapa rejaman penting termasuk mata ke-12 ketika Malaysia mendahului 12-9.
India yang dibarisi Ram Kumar Sharma, Yunam Akash, Bobby Kumar dan Sorokhaibam Malemnganba Singh cuba bangkit, namun Afifuddin sekali lagi menjadi wira negara apabila melakukan rejaman terakhir untuk mata ke-15 sekali gus mengesahkan Malaysia muncul juara dunia acara kuadran secara straight set.
Sumber Gambar: PSM