SUDAH dijangka, pasukan hoki wanita India terlalu kuat buat Malaysian Tigress namun setidak-tidaknya mereka berjaya mengelak dari tewas dengan jumlah jaringan lebih besar.
Pengendali skuad wanita, Nasihin Nubli Ibrahim bagaimanapun tetap memuji sikap pemain yang menampilkan persembahan yang baik, di sebalik kekalahan 6-0 ditangan skuad Olimpik India, pada peringkat kumpulan A, Sukan Asia ke-19.
“Kita sememangnya menjangkakan India sebuah pasukan yang sangat kuat, mereka memiliki kelebihan berbanding pasukan kita di setiap kawasan.
“Memang berat menerima kekalahan 6-0 namun saya pasti pemain telah memberi persembahan yang baik, saya sendiri berbangga dengan usaha pemain saya,” kata Nasihin.
Menurutnya, India sebuah pasukan banyak berpengalaman di peringkat dunia, Olimpik malah beraksi di Pro League, dan menganggap apa dilalui pemain adalah sebuah pengalaman yang berharga.
“Saya harap pemain bersedia untuk perlawanan menentang Singapura (Ahad), perjuangan kita belum selesai dan tidak boleh cepat mengalah.
“Esok (Sabtu) rehat sehari, peluang untuk pemain memulihkan tahap kecergasan,” katanya.
Pada perlawanan itu, skuad negara ketinggalan 4-0 pada suku pertama, menerusi jaringan Monika, Deep Grace, Navneet Kaur dan Vaishnavi Vitthal.
Skuad bimbingan Nasihin berjaya memperbaiki permainan dan hanya melepaskan satu gol pada suku kedua, menerusi jaringan Sangita Kumari, dan bertahan dengan baik pada suku ketiga, sebelum dibolosi satu lagi jaringan pada suku keempat, menerusi gol Lalremsiami.