HAMPIR sebulan tidak berada di pentas kompetitif, jaguh pecut negara Muhammad Azeem Fahmi tidak bimbang dengan prestasinya, sebaliknya mengakui dia memiliki kelebihan yang boleh digunakan di Kejohanan Olahraga Asia (ATF), di Bangkok, Thailand, yang bermula esok.
Menurut anak jati Perak itu, kejohanan-kejohanan disertainya sepanjang mewakili Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS) menjadi sebahagian daripada persiapan ke kejohanan olahraga sebelum itu.
Malah jaguh pecut negara itu berkata, Bangkok menjadi medan terbaik buatnya dan jurulatih, Ken Harnden menilai siapa pencabarnya di Sukan Asia Hangzhou, September depan.

Muhammad Azeem Fahmi akan mendapat khidmat jurulatihnya Ken Harnden, yang terus terbang dari AS ke Bangkok, hari ini.
Pemenang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) itu mengakui teruja untuk bersaing dengan pelari yang memiliki catatan masa bawa 10s dan pengalaman di sepanjang berkelana di Amerika Syarikat (AS) diharapkan dapat membantunya untuk bersaing dengan pelari yang lebih senior di ATF nanti.
“Semua orang tahu pertandingan yang saya lalui di sana (AS) sangat kompetitif. Saya rasa benda itu akan membantu saya lebih bersedia bersaing di peringkat senior.
“Kejohanan Olahraga Asia nanti adalah kejohanan pertama saya dalam kategori senior selepas Sukan Sea lalu (Hanoi), saya rasa tak ada masalah berlari dengan mereka.
“Yang penting untuk kejohanan ini saya nak ‘enjoy’ perlumbaan dan nak lihat siapa lawan saya di sukan Asia nanti,” katanya.

Azeem sasar bawah 10s di Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand.
Tegas Azeem yang berusia 19 tahun, ATF adalah kejohanan terbesar di peringkat Asia dan siapa lawan di ATF nanti adalah mereka yang sama akan berlari di Sukan Asia.
“Ini adalah tanda aras untuk saya menilai prestasi saya. Ketika ini saya berkedudukan keempat terpantas di Asia dan mereka yang berada di atas saya semuanya pelari senior tapi catatan mereka tak jauh dengan saya.”
Azeem yang menjadikan pangkalan latihan di AS, mencatat masa terbaik 10.11s tahun ini yang dilakukannya di Kejohanan SEC Outdoors 2023.
Dia dijangka menerima tentangan dari Yupun Abeykoon dari Sri Lanka yang kini memegang status nombor satu Asia tahun lalu dengan catatan 9.96s manakala Abdul Hakim Sani Brown (Jepun) di kedudukan kedua, 9.98s.

Yupun Abeykoon dari Sri Lanka berada di ranking pertama Asia ketika ini dengan catatan 9.96s. Pix Agensi
Seorang lagi atlet Jepun, Ryuichir+o Sakai berada di kedudukan ketiga dengan catatan 10.02s.
Di Bangkok, Azeem akan beraksi dalam acara 100m dan 4x100m bersama Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan Muhammad Thaqif Hisham.
Esok kuartet 4x100m lelaki dan wanita negara akan memulakan aksi, pusingan awal di sebelah pagi dan final pada petang.
Azeem buru bawah 10 saat di Kejohanan Olahraga Asia, Bangkok
Berikut senarai ranking pelari pecut 100m Asia
Senarai 10 pelari terbaik Asia
1. Yupun Abeykoon (Sri Lanka) – 9.96s
2. Abdul Hakim Sani Brown (Jepun) – 9.98s
3. Ryuichiro Sakai (Jepun) – 10.02s
4. Muhd Azeem Fahmi (Malaysia) – 10.09s
5. Kim Kuk-Young (Korea) – 10.09s
6. Puripol Boonson (Thailand) – 10.09s
7. Ryo Wada (Jepun) – 10.10
8. Lalu Muhammad Zohri (Indonesia) – 10.10s
9. Akira Harada (Jepun) – 10.11s
10. Yang Chun-Han (Taiwan) -10.12s