Pengurusan skuad kebangsaan sedang menilai saluran perundangan yang sesuai susulan hukuman dikenakan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) terhadap Harimau Malaya.
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend yang memaklumkan pihaknya mengambil maklum keputusan Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC berhubung pemotongan mata terhadap Malaysia.
Menurutnya, walaupun pihak pengurusan menghormati proses serta peraturan pertandingan, perkara tersebut kini sedang diteliti menerusi saluran perundangan yang sewajarnya.
“Kami mengambil maklum keputusan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC berhubung pemotongan mata. Kami menghormati proses peraturan pertandingan. Pada masa yang sama, perkara ini sedang diteliti melalui saluran perundangan yang sewajarnya.
“Sepanjang tempoh ini, keutamaan kami kekal jelas untuk menyokong pemain dan kakitangan, serta memastikan mereka berada dalam keadaan terbaik bagi mewakili Malaysia dengan profesionalisme, perpaduan dan kebanggaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
“Tumpuan kami kini sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi perlawanan akan datang menentang Vietnam, di mana pasukan akan beraksi dengan keyakinan, ketahanan dan disiplin yang sama seperti yang ditunjukkan sepanjang tahun 2025.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada penyokong atas sokongan dan kepercayaan berterusan terhadap pasukan,” tambahnya.
Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC membatalkan keputusan dua aksi kelayakan AFC Asian Cup 2027 yang melibatkan Malaysia menentang Nepal national football team dan Vietnam national football team susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan.
Keputusan itu dibuat selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) didapati melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam dua perlawanan tersebut.
Susulan keputusan berkenaan, Malaysia diisytiharkan kalah 3-0 bagi kedua-dua perlawanan sekali gus menyaksikan Harimau Malaya kehilangan enam mata dalam saingan Kumpulan F.
Keadaan itu menyebabkan Malaysia kini berada di tangga kedua kumpulan dengan sembilan mata, manakala Vietnam mengesahkan tempat ke pusingan akhir selepas mengumpul 15 mata untuk muncul juara kumpulan.