Foto: AFC

TIGA mata penuh yang dicari skuad Bawah 19 Tahun (B-19) tahun negara untuk mencerahkan peluang merebut tiket ke Piala Asia Bawah Tahun 2023 berjaya dicapai apabila berjaya mengatasi masalah ketumpulan barisan serangan dalam perlawanan kedua Kumpulan E.

Malaysia berjaya membenam cabaran Sri Lanka yang tewas buat kali kedua 3-0 dalam aksi di Stadium MFF, Ulaanbaatar dan kini berjaya mengumpul empat mata dari dua perlawanan.

Kegagalan menjaringkan lebih gol ketika terikat 1-1 pada aksi pertama Rabu lalu, pasukan kendalian Hassan Sazali Waras kembali mempamerkan corak permainan agresif dan mendominasi perlawanan sejak dari awal perlawanan.

 

Namun beberapa peluang masih gagal disudahkan sehingga masuk minit ke-30 apabila Aliff Izwan Yuslan menjaringkan gol pembukaan buat skuad negara sekaligus menyuntik semangat barisan pemain Harimau Muda untuk mencari tambahan gol.

Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama dan Malaysia meneruskan asakan demi asakan ke kubu Sri Lanka dan akhirnya berhasil pada minit ke-70 menerusi jaringan Adam Farhan Faizal.

Malaysia langsung tidak memberikan peluang kepada Sri Lanka untuk menguasai permainan dengan mengekalkan penguasaan bola dalam kawasan lawan dengan serangan bertali arus.

Ketika perlawanan dilihat bakal berkesudahan dengan dua gol, Aliff Izwan menjaringkan gol kedua peribadi dan ketiga buat negara pada masa kecederaan untuk memberikan kemenangan selesa buat Malaysia.

Kemenangan ini menyaksikan Malaysia berada di tangga kedua dengan mengutip empat mata manakala Korea Selatan unggul dengan enam mata selepas membelasah Mongolia 7-0 dalam satu lagi perlawanan.

Kejayaan ini adalah satu keputusan positif buat skuad negara menjelang aksi terakhir kumpulan menentang Korea Selatan Ahad ini dengan 10 juara kumpulan dan lima pasukan tempat kedua terbaik akan layak ke Uzbekistan 2023.