PENYOKONG Penang FC menggesa Mohd Faiz Subri dapat diturunkan oleh jurulatih (Zainal Abidin Hassan) menjelang pertembungan suku akhir Piala FA 2022 berdepan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu.

Kepakaran Faiz atas padang khususnya menerusi situasi bola mati semestinya ditagih dalam usaha kelab dari utara itu melayakkan diri ke fasa seterusnya.

Berdasarkan reaksi peminat di Facebook Penang Football Club, peminat negeri itu optimis peluang Penang FC boleh melakar kejutan terbesar ke atas skuad Dollah Salleh walaupun terpaksa bermain di gelanggang lawan.

“Harap esok (malam ini) kalau Faiz Subri main. Harap sejarah gol Puskas sekali lagi…. Insha Allah lawan Pahang pula tu,” kata hantaran Mohammad Hanafi Mahazir Asaadi.

Senjanan Biru menulis : ” Tapi aku rasa Penang FC ada tuah kalau Piala FA ni. Silap-silap boleh juara.”

Penyokong Penang FC mahu Faiz Subri diturunkan pada aksi suku akhir Piala FA malam ini.

Bagi seorang lagi penyokong The Panthers, Farhan Hamzah Dahsyat mendoakan pasukan kesayangannya dapat mara ke separuh akhir.

“Tidak dapat hadir laa. Memang nak pi. Good luck and all the best guy,” katanya.

Sebagai rekod, Faiz pernah mencipta sensasi tersendiri apabila muncul pemain Asia pertama menggondol Anugerah Puskas FIFA menerusi sepakan percuma ‘melanggar’ hukum fizik ketika berdepan Pahang pada 2016.

Pencapaian itu meletakkan dia sebaris dengan pemain ternama dunia yang pernah memenangi anugerah sama sebelum itu seperti James Rodriguez, Zlatan Ibrahimovic dan Neymar.