PENYOKONG Malaysia di Qatar, Sofiyan Ong memilih Darren Lok dan Stuart Wilkin bakal menggegar Harimau Malaya melangkah lebih garang di Piala Asia 2023.

Kata-kata itu berasaskan kepada persembahan bertenaga ketika mereka bersama Sabah FC pada aksi Piala AFC sehingga layak ke separuh akhir zon ASEAN Piala AFC apabila muncul juara Kumpulan H.

“Ikutkan pada prestasi semasa, semangat yang ada dapat diserapkan ke dalam pasukan Malaysia. Sebagai penyokong Sabah, mesti saya pilih Darren dan Wilkin.

“Tapi untuk Malaysia, kita percaya 100 peratus kepada Kim Pan-gon untuk menyenaraikan kesebelasan utama terbaik Harimau Malaya.

“Saya optimis Darren akan skor gol untuk Malaysia,” katanya yang berasal dari Tawau.

Ditanya peluang pasukan negara memberi cabaran Kumpulan E yang dibarisi pemenang dua kali, Korea Selatan, Sofiyan, 36, akui sukar untuk menjinakkan lawan kerana reputasi hebat para pemain termasuk kehadiran bintang Liga Perdana Inggeris, Son Heung-min.

“Korea mungkin muncul juaralah. Tapi, kedudukan tangga kedua tu, Insya Allah dalam tanganlah,” katanya penuh yakin.

Sementara itu, Muhammad Izz Syauqi Ong 8, anak kepada Sofiyan tidak meragui kemampuan skuad Harimau Malaya dan boleh menumpaskan Bahrain dan Jordan.

“Saya rasa boleh pergi sampai ke final, kita boleh kalahkan mereka. Saya tak berapa kenali pemain Malaysia tapi saya tahu kita boleh menang,” selorohnya sambil disambut ketawa kecil bersama ahli keluarga ketika hadir pada majlis Meet and Greet Harimau Malaya di Kedutaan Besar Malaysia di Doha.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia akan memulakan saingan Kumpulan E di Doha menentang Jordan pada 15 Januari, diikuti Bahrain (20 Januari) dan membuat perhitungan menentang juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari.