KEKALAHAN seawal pusingan pertama di Terbuka Malaysia 2024 bukanlah keputusan yang dihajati beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah, namun ianya tidak menjatuhkan semangat mereka sama sekali.
Meskipun langkah kiri pada kejohanan pertama, mereka tetap bersemangat untuk membuka lembaran baharu sejak Pearly beraksi dengan pelbagai masalah sepanjang tahun lalu, termasuk kecederaan.
Menurut Thinaah, paling penting buat mereka sekarang adalah kembali turun ke gelanggang dengan mood yang segar, selepas kali terakhir beraksi pada Masters China Novemeber tahun lalu.

“Sudah lama tidak dapat bermain, walaupun bukan permulaan yang baik sekurang-kurangnya kami sudah memulakan aksi bagi musim ini,” kata Thinaah selepas mereka ditunjukkan jalan keluar dengan kekalahan kepada pilihan kelapan dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning 20-22, 15-21.
Biarpun tewas, Pearly yang dihimpit dengan pelbagai masalah kecederaan musim lalu termasuk kesakitan belakang, berpuas hati dapat beraksi tanpa memikirkan kecederaan.
“Saya sangat gembira kerana sudah lama tidak beraksi dengan badan yang tidak cedera. Saya rasa puas dapat memberikan segala-galanya (dalam gelanggang), dengan apa yang saya persiapkan ketika di dalam latihan.
“Badan saya kembali berada dalam keadaan terbaik dan harapnya ia berterusan untuk saingan akan datang,” kata Pearly yang menghuni ranking ke-12 dunia bersama Thinaah.

Ditanya mengenai kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024, Thinaah berkata, mereka sangat teruja dapat memulakan kempen berkenaan di laman sendiri.
“Kami tidak fikir mengenai pungutan mata Olimpik, kami hanya akan fokus mata demi mata di dalam perlawanan,” kata mereka yang menghuni tangga kesembilan kelayakan Olimpik dengan 57,381 mata.
Pearly-Thinaah yang muncul juara Terbuka Perancis 2022 akan kembali beraksi pada Jelajah Dunia musim ini di Terbuka India minggu depan dengan menentang wakil Taiwan, LEE Chia Hsin-Teng Chun Hsun.