JARAK kira-kira dua minggu rehat dari saingan Liga Super, menjadi tempoh berharga buat Perak FC, memperbaiki setiap kelemahan untuk bangkit dengan kemenangan.
Terperosok ke tangga ketiga paling bawah Liga Super 2024-2025 selepas menerima kekalahan keempat kepada Penang FC di gelanggang sendiri, Sang Seladang yakin mampu beraksi dengan baik ketika berkunjung ke Kota Bharu, pada Jumaat.

Selepas empat kali tewas, Yusri Che Lah tahu keyakinan pemainnya terjejas namun menyeru agar pemain melupakan pengalaman lalu.
Ketua jurulatih, Yusri Che Lah berkata, dari segi kondisi pemainnya berada pada tahap terbaik untuk bangkit, namun beliau menekankan situasi pada hari perlawanan bakal menjadi penentu keputusan.
“Tempoh rehat hampir dua minggu, kita telah cuba perbaiki setiap kelemahan yang ada. Sebagaimanusia, pasti ada kesilapan dan ada yang menjadi kelemahan.
“Apabila beraksi dalam perlawanan, ia melibatkan sebuah pasukan dan kita memerlukan setiap pemain untuk membantu dan menutup kelemahan… pemain ada peranannya, barisan kejurulatihan juga memainkan peranannya untuk mendapatkan keputusan yang memihak kepada kami,” kata Yusri, ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Yusri memberi taklimat kepada pemain Perak FC.
Perak kini berkongsi tiga mata dengan Kelantan Darul Naim (KDN) namun Perak berada di tangga ke-11 dan KDN 12.
Mengulas mengenai peluang berdepan pasukan di kelompok bawahan, Yusri menganggap setiap peluang menentang mana-mana pasukan dalam Liga Super tetap sama dan hanya keyakinan pemain pada hari perlawanan dapat membezakan keputusannya.
“Saya tidak nafikan selepas tewas empat kali daripada lima perlawanan, tahap keyakinan pemain pasti terjejas tetapi perlawanan ini adalah peluang untuk mencipta tahap keyakinan.

Meskipun berdepan pasukan bawahan Liga Super, Kelantan Darul Naim juga memiliki tujuan yang sama dengan Perak FC, memburu kemenangan kedua di Kota Bharu.
“Jika menghadapi perang sekalipun, keyakinan memenangi perlawanan itu penting kerana tanpa keyakinan.
“Cuma kondisi pemain saya ketika ini pada tahap terbaik tetapi tidak mustahil jika mengambil sikap sambil lewa, kami boleh dihukum lawan dan perkara ini kami tidak mahu berulang lagi,” tambah Yusri.
Menurutnya, belia tidak mahu pasukan memandang kepada keputusan lalu kerana liga masih berbaki 19 perlawanan lagi.
Untuk rekod, Perak tewas 1-3 kepada Terengganu pada perlawanan pertama Liga Super, disusuli kekalahan 2-3 kepada PDRM sebelum bangkit menewaskan Kedah 2-0.
Namun selepas itu, mereka tunduk 1-2 kepada Selangor dan 0-2 kepada Penang.