Kredit Gambar: FRANCK FIFE/AFP

Pemain tengah Bayern Munich, Jamal Musiala mendedahkan dia sedang berdepan gangguan neurologi selepas mengalami episod kehilangan kesedaran buat kali kedua dalam tempoh tiga hari ketika aksi pramusim.

Pemain antarabangsa Jerman berusia 23 tahun itu rebah di atas padang beberapa minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Bayern menentang Heidenheim dalam aksi persahabatan, lewat malam tadi.

Insiden berkenaan berlaku hanya beberapa hari selepas Musiala mengalami kejadian sama ketika Bayern berdepan RB Leipzig pada Sabtu lalu.

Dalam aksi menentang Heidenheim, Musiala dilihat berada dalam keadaan keliru sebelum menerima rawatan dan kemudiannya dibantu meninggalkan padang.

Musiala selepas itu tampil memberikan penjelasan menerusi media sosial, memaklumkan keadaan yang dialaminya berpunca daripada gangguan neurologi dan boleh dirawat.

Menurutnya, episod tersebut menyebabkan kehilangan kesedaran untuk tempoh singkat dan boleh berlaku secara tiba-tiba seperti yang dialaminya ketika menentang Leipzig dan Heidenheim.

Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun itu memberi jaminan bahawa dia menerima rawatan perubatan terbaik serta kekal optimistik dengan keadaannya.

Musiala turut merakamkan penghargaan terhadap orang ramai yang mengirimkan mesej sokongan susulan insiden terbabit.

Sebelum ini, Musiala turut rebah ketika perlawanan menentang Leipzig dalam keadaan cuaca panas dengan suhu melebihi 30 darjah Celsius.

Insiden terbaru itu menambah perhatian terhadap keadaan fizikal Musiala selepas dia sebelum ini terlepas sebahagian besar musim lalu akibat kecederaan patah buku lali yang dialaminya ketika beraksi pada Piala Dunia Kelab.

Dia kemudiannya kembali beraksi pada penghujung musim sebelum mewakili Jerman di Piala Dunia 2026.