AKSI hari kedua Selangor Asia Challenge (SAC) 2024 dimulakan dengan perlawanan yang dramatik apabila wakil dari Brunei, DPMM FC dan wakil dari Singapura, Balestier Khalsa FC terikat 3-3 di Stadium MBPJ, pada Ahad.

DPMM FC mahu mengakhiri kempen mereka dengan kemenangan selepas tewas di tangan tuan rumah Selangor FC manakala Hala Tigers memburu satu lagi kejayaan selepas menewaskan wakil Laos, Young Elephants FC.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bersemangat untuk mencari gol awal dan hasilnya Balestier Khalsa berjaya membolosi gawang gol DPMM pada minit ke-6 hasil jaringan Masahiro Sugita.

Rakan sepasukan Sugita, Kodai Tanaka membolosi gawang gol DPMM FC sekali lagi pada minit ke-19 untuk meletakkan Hala Tigers di hadapan dengan kelebihan dua gol.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad kendalian Rui Capella memperkemaskan permainan mereka dan hasilnya menjaringkan gol sulung mereka dalam kejohanan menerusi penyerang muda Brunei, Hakeme Yazid Said pada minit ke-28.

Hakeme sekali lagi menghantui penjaga gol Balestier, Hafiz Ahmad apabila mencetak gol penyamaan untuk menjadikan keputusan 2-2.

Kapten pasukan DPMM FC, Azwan Ali melakukan kejutan apabila melambungkan bola ke arah gawang kosong pada minit ke-45 untuk meletakkan wakil Brunei itu dihadapan pada separuh masa.

Babak berikutnya memperlihatkan Hala Tigers tampil dengan lebih garang untuk mencari gol penyamaan.

Gawang DPMM FC kembali dibolosi buat kali ketiga pada minit ke-64 selepas kapten pasukan Balestier Khalsa, Alen Kozar menjaringkan gol penyamaan.

Kedua-dua pasukan saling menyerang untuk mencari gol kemenangan namun gagal menemui jaringan sekali gus keputusan 3-3 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kedua-dua pasukan yang merupakan pasukan yang bermain di Liga Singapura itu akan bertemu sekali lagi dalam perlawanan liga.